Hawa Telinga

Saturday, 2 August 2014

Novel : Terlerai Sudah Bab 22








BAB 22 : Siapa Dalangnya?

  A
iman pantas memasuki rumah Danial setelah salamnya bersambut. Mereka semuanya berada di ruang tamu Danial. Ada yang duduk dan ada juga yang hanya berdiri. Aathifah faham benar dengan wajah keruh yang dipamerkan oleh Aiman tatkala melihat kebanyakan yang berada di dalam rumah Danial dalam keadaan berkopiah. Semasa menelefon Aiman untuk segera ke rumah Danial, Aathifah sempat memberitahu serba sedikit perkara yang terjadi kepadanya.
            Aathifah hanya berwajah walang tanpa setitik pun air mata yang menemaninya ketika itu. Aathifah tidak menyangka begitu banyak ujian yang dihadapinya akhir-akhir ini. Mulanya dia tidak mahu memberitahu Aiman tetapi bila Danial memaksa dan menyatakan ketidak senangannya melihat keadaan lemah dan diam diri Aathifah, di samping mereka memerlukan mahram, Aathifah turutkan sahaja menelefon Aiman. Mujur dia tidak kerja malam itu.
            “Yang Muhamad Danial bin Abdullah. Astaqfirullahhalazim. Encik Danial ni Islam rupanya. Saya ingat bukan tadi. Sebagai orang Islam tak kan tak tahu larangan berdua-duaan ni? Dengan pintu tertutup dan dengan pakaian encik yang tidak sempurna tadi memang menimbulkan syak.“ Seorang lelaki bersuara sambil memegang kad pengenalan Danial dan Aathifah. Aathifah terkejut dengan butir bicara lelaki itu hanya mampu memandang sepi lantai rumah Danial. Sementara Danial memerhatikan segala gerak geri Aathifah yang membisu itu. Dia mula rasa tidak senang duduk dengan kelakuan pelik Aathifah yang tidak seperti mana-mana wanita lain yang akan mengalirkan air mata mereka bila mana menghadapi situasi seperti itu.  
            Danial yang sudah malas ingin mengulangi keadaan sebenar yang berlaku mula mendiamkan diri dan mula merasakan tiada guna dia berkata apa-apa dikala itu kerana tiada satu alasan pun yang akan berpihak kepadanya dan Aathifah. Pak Rahim yang turut ada kerana mengiringi jemaah tadi pun turut sudah cuba menerangkan keadaan kepada meraka tapi tidak dapat merubah hakikat mereka ketika itu.
            Satu yang pasti ketika itu, Danial merasakan dia perlu menyiasat perkara yang telah menyebabkan salah faham ini terjadi sehingga jabatan berkuasa turut dipanggil hadir ke rumahnya. Dia dapat merasakan semua ini satu rancangan yang telah diatur kemas oleh seseorang. Dia mula tertanya-tanya dengan dirinya sendiri.
            'Siapa dalang yang rancang semua ni ye? Ada yang sedang memerhatikan gerak-geri aku dan pasang perangkap sampai macam ni sekali! Ataupun bukan aku yang menjadi perhatiannya tapi  Aathifah?!!!' Danial pantas mengalihkan pandangannya kepada wajah lesu Aathifah.
            'Aku kena inform kan Aathifah akan perkara ni. Tak, tak boleh. Kalau aku bagitahu Aathifah nanti dia akan bertambah rungsing. Baik aku minta Aiman yang tolong lebih berhati-hati balik nanti dan perhatikan keadaan sekeliling.' Danial kembali bersuara sendirian sambil mata berkalih pula kepada Aiman yang duduk disebelah Aathifah.
            Danial dapat melihat Aiman sudah menggenggam erat jari-jemari Aathifah, cuba menenangkannya yang masih berdiam diri seperti seseorang yang kehilangan rohnya, melayang entah ke mana dan yang tinggal di situ hanya jasadnya sahaja.
            Setelah jemaah Jabatan Agama Islam memberikan teguran, nasihat dan peringatan akan denda dan tindakan yang wajar diambil kepada ketiga-tiga mereka, jemaah pun berlalu pergi.  Aiman mula melemparkan satu renungan yang amat tajam ke wajah Danial. Danial pasti ada perkara yang sedang bermain di fikiran Aiman ketika itu. Dia juga dapat melihat Aiman menggenggam erat penumbuknya. Dia pasti Aiman dalam amarah yang memuncak ketika itu. Sebelum sempat Aiman bersuara, Pak Rahim berbicara kekalutan.
            “Maaf Encik Danial, Cik, Encik. Tadi betul ada seorang pempuan nak jumpa encik, jadi saya bagilah masuk dah dia kata dia adik encik. Bila saya nak ikut sama di kata tak perlu sebab dia boleh tolong temankan encik ngan cik ni. Saya ingat encik dah telefon adik encik untuk minta tolong teman. Saya tak tahu lak boleh jadi macam ni. Saya minta maaf sangat-sangat encik.“
            "Pak Rahim, Pak Rahim dah lupa ker yang saya ni anak tunggal? Tapi mungkin orang tu adik sedara saya. Tak….." Belum sempat Danial meneruskan kata-katanya Aiman pula mencelah.
            "Kalau betul tu adik sedara abang, abis tu mana pergi orangnya? Kenapa tak muncul sorang pun pempuan kat sini tadi selain Kak Long?" Aiman masih bengang.
            "Betul encik, saya tak tipu kalau encik tak percaya encik boleh tanya Pak Saleh kat pondok tu. Dia pun ada masa tu. Nanti saya panggilkan dia sekali." Pak Rahim ingin berpaling keluar.
             “Tak pe la Pak Rahim. Saya percayakan Pak Rahim. Benda dah nak jadi. Esok saya kene siasat sape yang Pak Rahim cakap tu. Sekarang ni semua tengah tak tenang. Nak buat tindakan dan keputusan pun mungkin dipengaruhi dengan perasaan marah. Pak Rahim boleh la balik dulu. Esok saya cari Pak Rahim lagi ye. Terima kasih Pak Rahim.“ Pak Rahim terdiam dan hanya menganggukkan kepalanya. Pak Rahim berlalu pergi setelah bersalaman dengan Danial dan Aiman.
            Suasana sepi seketika. Danial yang nampak muka kelat Aiman hanya mampu mendiamkan diri dan membiarkan Aiman memulakan bicara. Menghemburkan segala kemarahan dan ketidak puasan hatinya kepadanya. Dia sedia menadah telinga mendengarnya.
            “Abang Danial, macam ni ke cara abang nak dapatkan Kak Long? Abang perangkap Kak Long kan?“ Bentak Aiman.
            “Ya Allah! Aiman. Tak kan la abang nak buat perkara memalukan macam ni kat Aathifah, kat Aiman ngan famili. Abang pun ada maruah diri. Lagipun cara ni belum tentu abang leh dapatkan kak Aathifah. Aiman pun tahu bayar denda pun dah cukup tak semestinya kahwin.  Jadi pe gunanya abang guna cara ni.“ Danial cuba bersuara setenang yang boleh
            "Kenapa Kak Long tak call Angah jer temankan tadi. Kalau tidak semua ni tak terjadi! Kak Long bukannya tak tahu hukum-hakam, kan?" Aiman menghemburkan kemarahannya kepada Aathifah pula.
            "Kak Long ingat Aiman keje malam ni. Lagipun tadi Zatunnur ada temankan tapi kena balik kejap tadi sebab ada hal penting kat rumahnya." Aathifah bersuara lemah.
            "At least, Kak Long call la dulu tanya. Sakit hati Angah tengok keadaan Kak Long macam ni. Diamkan diri, pendamkan segala perasaan Kak Long. Kak Long tolong la nangis dan luahkan segala perasaan Kak Long tu. Kalau air mata Kak Long sekurang-kurangnya bergenang, Angah akan rasa lebih lega dan faham perasaan kecewa Kak Long. Mungkin juga Angah tak kan marah-marah macam ni. Tolonglah Kak Long, Kak Long pun pempuan juga. Aaaah!" Aiman melepaskan kemarahannya dengan menumbuk sofa yang didudukinya.
            Aathifah masih lagi tega tanpa setitis pun air mata yang mengalir. Danial hanya mendiamkan diri sedari tadi dengan membiarkan Aiman melepaskan kemarahan walaupun dia sebenarnya ingin menyampuk dan membela Aathifah mula membuka bicaranya.
            "Aiman kalau Aiman nak lepaskan kemarahan Aiman, Aiman marah saje abang. Kak Long Aiman tak salah apa-apa pun. Dia cuma mangsa keadaan. Abang yang patut dipersalahkan dalam hal ini. Patutnya abang suruh Aathifah balik sama juga tadi dan sambung semula keje-keje ni esok jer. Tapi abang tak terfikir pula sampai macam tu sekali. Maafkan abang." Danial menyatakan kekesalannya. Aiman hanya memandang wajah Danial tanpa ingin membalas. Keadaan kembali sepi buat seketika sebelum Aathifah kembali bersuara lemah.
           
            “Danial, sejak bila awak memeluk Islam? Kenapa awak tak pernah bagitau saya? Nur tahu tak perkara ni? Ataupun awak dah pakat ngan Nur nak rahsiakan semua ni dari saya? Ada apa-apa lagi yang awak sembunyikan daripada saya?“ Aathifah yang terasa hati dengan tindakan Danial merahsiakan keislamannya mula bertanya bertalu-talu.
            “Saya dah memeluk Islam sebelum kita berjumpa lagi. Tiga tahun lepas saya dah memeluk Islam. Beberapa bulan selepas saya membuka syarikat saya tu. Tiada seorang pun staf saya yang tahu saya dah memeluk Islam kecuali beberapa kawan rapat saya. Saya saja tak bagitau sesiapa sebab saya tak nak heboh-hebohkan keislaman saya sebab saya benar-benar nak memeluk dan mendalami Islam. Saya risau kalau saya bagitahu semua nanti ada yang menyatakan saya hanya hendak menunjuk-nunjuk.“ Danial menarik dalam-dalam nafasnya sebelum menyambung.
            “Aathifah, Aiman, saya akan bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Saya akan menyiasat apa yang berlaku. Kalau Aathifah ngan Aiman tak percaya, Aathifah ngan Aiman leh turut serta menyiasat ngan saya nanti. Saya tak bohong yang memang bukan saya yang buat semua ni. Memang saya mengaku saya sukakan awak Aathifah dan bercadang hendak memperisterikan awak tapi ini bukan cara saya. Saya akan cari pempuan yang mengaku adik saya tu dan cari sebab dia buat semua ni.“
            “Aiman, tolong Kak Long sudahkan keje Kak Long.“ Aathifah yang tidak memberi sebarang riak kepada kata-kata Danial terus bangun setelah dirinya kembali gagah. Dia sebenarnya ingin segera pergi dari situ kerana dia mula tidak selesa dengan luahan rasa hati Danial kepadanya ketika itu.
            “Tak pe la Aathifah, biar saya yang sudahkannya sahaja. Awak dah penat dah tu. Awak balik la saje. Lagipun tinggal nak gantung yang satu tu jer lagi kan.“ Danial simpati dengan Aathifah. Dia risaukan keadaan tidak bermaya Aathifah yang seperti kehilangan semangat itu.
            “Tak pe keje saya, saya kene sudahkan. Kalau tak nanti upah yang saya dapat jadi haram sebab saya dah bagitahu awak dari awal saya akan tolong pasangkan terus.“ Aathifah melangkah dengan sedikit seroyong. Pantas Aiman memaut bahu Aathifah. Danial terangkat sedikit punggungnya, tindakan refleksi dirinya yang seolah-olah ingin menyambut Aathifah yang seperti ingin terjatuh.
            "Tak pe Kak Long, biar Angah yang buat. Kak Long tengok jer betul atau tidak cara Angah buat." Aiman segera mengambil kain langsir yang berada di lantai berhampiran tingkap dapur Danial.
            Suasana sunyi tanpa sebarang kata menyelubungi rumah setingkat itu. Setelah menyiapkan kerja-kerjanya, Aathifah dan Aiman meminta diri. Aiman memapah Aathifah yang seperti tidak mampu bergerak sendiri. Lututnya terasa lemah dan jiwanya kosong. Aathifah tak tahu apa yang sepatutnya difikirkan.
            Segala macam hasutan bermain dalam fikirannya ketika itu. Hasutan mencari kesalahan sesorang akan berlakunya perkara itu. Hendak menyalahkan siapa pun dia tidak tahu siapa? Salah diakah yang menerima tempahan itu? Salah Danialkah yang tidak pergi mendapatkan sendiri Pak Rahim menemani mereka apabila Pak Rahim lewat sebentar tadi? Salah Zatunnurkah meninggalkannya sendirian dengan Danial? Salah Pak Rahim ker tidak datang ke rumah Danial dan membiarkan dirinya ditipu oleh orang tidak dikenali? Siapakah perempuan yang dimaksudkan oleh Pak Rahim sebentar tadi? Apakah motif dia lakukan semua ini kepadanya?
            Aathifah meneruskan langkah biarpun fikirannya kosong ketika ini. Namun belum sempat Aathifah dan Aiman melangkah keluar pintu rumahnya, Danial memanggil Aiman. Aathifah dan Aiman memandang Danial.
            "Aiman… " Danial tak jadi meneruskan kata-katanya yang ingin disampaikan kepada Aiman yang sebenarnya apabila terlihat wajah Aathifah yang turut sama memandangnya. Dia segera menukar butir bicaranya.
            “Aathifah, Aiman. Saya minta maaf. Saya akan bertanggungjawab. Saya akan bayar denda itu nanti. Kesemuanya sekali jadi Aathifah tak perlu keluarkan satu sen pun duit untuk denda tu. Aathifah tak perlu risau. Hanya itu yang saya mampu buat.“ Danial memandang lesu kedua-dua beradik itu. Punggungnya seperti sudah melekat pada sofa yang sedari tadi dia labuhkan. Seketika Aathifah dan Aiman menyambung semula kerja, Danial hanya memandang karpet yang terdampar di tengah-tengah ruang tamu itu.
            Aathifah tidak memberikan sebarang reaksi, sama seperti tadi. Aiman hanya tertunduk sedikit memandang Danial yang masih di sofanya dengan memakai semula bajunya yang koyak tadi. Masing-masing melayan perasaan dan fikiran masing-masing. Aiman segera memapah Aathifah keluar daripada rumah Danial.
            Sebaik sahaja Aiman masuk ke dalam kereta Aathifah dan ingin menghidupkan enjin kereta itu, telefon bimbitnya berdering. Tertera nama Abang Danial pada skrin telefon bimbitnya. Aiman segera memandang Aathifah yang berada di sebelahnya. Mujur Aathifah sedang menyandarkan dirinya sambil memejamkan matanya. Aiman segera mengangkat panggilan itu.
            "Aiman tolong dengar apa yang abang nak cakapkan ni betul-betul dan jangan beritahu Aathifah. Tolong jaga Aathifah dan tolong perhatikan keadaan sekeliling masa pandu balik nanti. Abang risau kalau semua ni merupakan satu perangkap yang dibuat oleh seseorang yang ada niat tak baik kepada Aathifah. Mulanya abang fikir abang orangnya tapi bila terfikirkan Aathifah, mungkin juga orang tu ada niat lain terhadap Aathifah. Jadi sebelum abang siasat betul-betul benda ni, Aiman tolong perhatikan Kak Long Aiman betul-betul ye. Please!" Danial mula menyatakan kebimbangannya.
            "Okey, baiklah. Thanks. Assalammualaikum." Aiman menjawab ringkas supaya Aathifah tidak dapat menangkap butir bicaranya dengan Danial tersebut. Danial yang memerhatikan daripada tingkap biliknya, kereta Aathifah yang berada di tapak tempat letak kereta hanya mampu mengeluh kecil sambil memerhatikan kereta Viva Elite tersebut berlalu pergi.



Novel : Terlerai Sudah Bab 21






BAB 21 : Sudah Terjadi

  "K
au ni kenapa Aathifah? Tak henti-henti buat kerja jer. Dah beberapa hari ni aku dengar ko asyik keje sampai lewat pagi. Kan Mr. Danial cakap dia tak kisah kalau ko siapkan lambat pun langsir-langsir tu. Tak payah la sampai tidur tiga, empat pagi semata-mata nak siapkan langsir tu cepat-cepat.“ Bentak Zatunnur terdengar di telinga Aathifah.  Aathifah jelas dengan keprihatinan sahabat karibnya itu, jadi teguran Zatunnur tidak sedikit pun menguris hatinya.
            “Aku tido gak, kan. Bukannya aku langsung tak tido. Aku masih boleh lagi Nur. Ko jangan la risau.“ Aathifah cuba menenangkan hati Zatunnur ketika itu.
            “Tido setakat dua, tiga jam bukan tido namanya Aathifah. Ko perlukan rehat yang cukup Aathifah. Semua orang risaukan ko ni. Kenapa ko bertungkus-lumus sangat ni? Ko ada nak guna duit ker? Cuba ko cete kat aku, mungkin aku boleh tolong.“ Aathifah masih setia mendengar kata-kata Zatunnur di corong telefon bimbitnya.
            “A’ah aku ade nak guna duit sikit. Tak pe, aku tak nak susahkan ko. Aku cuba ikhtiar sendiri. Tinggal sikit lagi jer nak cukup.“ Aathifah cuba menerangkan.
            “Come on la Aathifah. Kite dah lama berkawan. Tak kan hal-hal macam ni pun ko nak rahsiakan ngan aku. Pasal syer ker?“ Aathifah akur dengan kecekapan Zatunnur menganggak masalahnya.
            “A’ah. Tuan Habib nak jual syernya secepat mungkin. Dia dah tak boleh nak tunggu sebab dia nak labor kat syarikat lain. Aku short lagi beberapa ribu. Tu yang aku cuba rembat semua keje yang ada supaya cepat sikit kumpul. Risau aku kalau tak dapat syer tu. Abis la aku Nur kalau terlepas lagi.“ Aathifah menerangkan dengan agak panjang. Sebak dan sempit hati Aathifah ketika itu dirasainya.
            “Aku boleh bagi ko pinjam sikit tapi ko tahu la aku bukan banyak sangat simpanan. Berapa lagi yang tak cukup?“ Zatunnur mula mengendurkan nada suaranya.
            “Adalah dalam a… dua puluh ribu.“ Aathifah ragu-ragu memberi jawapan.
            “Ha! Ko gile ker Aathifah! Banyak tu. Sempat ker ko nak kumpul banyak tu? Ko ni memang buat keje gile betul la, Aathifah. Belum tentu cara ko ni dapat kumpulkan duit banyak tu.“ Dalam hati Aathifah bersetuju dengan kata-kata Zatunnur tapi hati kecilnya masih lagi ingin mencuba. Semoga Allah perkenankan.
            “Tak salah aku cuba, kan. Mana tahu rezeki Allah melimpah buat aku dalam masa terdekat ni.“ Aathifah bersemangat berbicara.
            “Tu yang ko nak bagi cepat-cepat langsir-langsir Mr. Danial tu. Mr. Danial dah tahu ker ko nak bagi dia langsir-langsir tu?“ Zatunnur setia melayan.
            “A’ah macam tu la. At least ada gak duit sikit buat tokok. Aku belum bagitahu dia. Nanti ko tolong cakap la kat dia. Nanti jangan lupa sediakan duitnya sekali ye.“ Aathifah cuba mengusik.
            “Ye lah. Nanti aku bagitahu Mr. Danial. Ko nak anto petang ni kan?“
            “A’ah lepas keje karang. Ko tunggu aku datang ye.“
            “Okey. Eh! Aathifah aku letak dulu ya, ade keje sikit ni. Bye, Assalammualaikum.“
            “Okey. Waalaikummussalam." Aathifah kelegaan dengan ketegangan yang melanda tadi. Aathifah mengelang-ngelang kepala geli hati mendengar kelatah Zatunnur. Sememangnya Zatunnur sahabat yang baik! Alhamdulillah dia dikurniakan sahabat yang sebegitu.
           
            Petang itu setelah selesai kerja-kerja di pejabatnya, Aathifah memandu kereta Viva Elitenya menuju ke pejabat Danial. Dia ingin segera menyudahkan penyerahan langsir-langsir berkenaan supaya dia dapat pulang dengan segera. Dia perlu menyiapkan tempahan baju-baju yang telah diterima menjelang beberapa bulan lagi hari raya Aidilfitri akan menjelma. Kebiasaan tempahan akan mula diterimanya seawal tiga bulan kerana tanggungjawabnya yang banyak, iaitu bekerja di pejabat, sambilan di Tesco dan urusan rawatan bapanya yang kadang-kadang terpaksa dia lakukan sekiranya Aiman tidak dapat uruskan kerana kerjanya yang mengikut syif.
            Ketibaanya disambut oleh Zatunnur yang sedia menanti di meja kerjanya. Setelah melihat kelibat Aathifah muncul di muka pintu pejabat itu, Zatunnur segera  memberitahu Danial akan kedatangan Aathifah.
            "Assalammualaikum warahmatullah hiwabarahkatuh, Nur. Busy ker?" Aathifah mula bertanya apabila mendapati Zatunnur menggunakan telefon pejabat sebentar tadi.
            "Eh! Tak de la. Nah, ni ceknya. Tengok cukup tak?" Zatunnur segera menyerahkan cek bernilai empat ribu lima ratus kepada Aathifah.
            "Alhamdulillah, betul la ni. Cukup dan tepat. Thanks Nur." Aathifah bersyukur sambil cuba bergurau dengan nilai yang diperolehinya.
            "Cukup ye. Nah ni pulak duit yang aku cakap aku nak bagi pinjam tu. Tak banyak dalam dua ribu jer. Pakai la dulu." Zatunnur menghulurkan sampul yang berisi duit di dalam sampul surat berwarna putih itu.
            "Eh! Sungguh ker ko nak bagi aku pinjam ni. Nanti cukup ker duit ko nak belanja bulan-bulan?" Aathifah nyata terkejut.
            "Insya-Allah ada. Ko jangan risau sangat la. Bukan aku bagi semuanya kat ko pun. Mana yang aku rasa mampu jer." Zatunnur tersenyum.
            "Alhamdulillah. Thanks Nur. Nanti-nanti aku bayar segera duit ko ni balik. Tapi sikit-sikit la ye, boleh?" Aathifah membuat muka comel dengan mengedip-gedipkan matanya.
            "Amboi! Comel la sangat tu! Dah jangan nak mengada-ngada ye. Aku tak kisah berapa dan bila ko nak bayar balik. Take your time. Yang penting jaga kesihatan ko tu jangan sampai sakit pulak. Nanti semua orang susah hati. Ingat!" Zatunnur buat mata jegilnya. Konon-kononnya memberi amaran keras kepada Aathifah.
            "Yes, madam." Aathifah membuat tabik hormat sambil tersenyum.
            "Dah-dah. Nak aku panggilkan Mr. Danial ker? Kot ko ada nak cakap apa-apa dengan dia?" Zatunnur cuba menduga sahabatnya.
            "Eh! Tak pe la. Tak de benda nak cakap dengan dia pun. Okey la, aku gerak…." Belum sempat Aathifah menghabiskan kata-katanya, Danial keluar daripada biliknya.
            “Ha! Aathifah, terima kasih kerana sudi menjahit langsir-langsir tu. Dah dapat ker ceknya?“ Danial bertanya sambil tersenyum berseri-seri.
            “Haaa!!!  A’ah dah. Terima kasih Mr. Danial sebab sudi tempah dengan saya. Saya harap hasilnya seperti yang Mr. Danial harapkan.“ Aathifah bertutur sopan.
            “Aik! Kenapa panggil Mr. Danial lak ni. Kan saya cakap Aathifah leh panggil saya Danial jer. Lain la kalau Aathifah staf saya. Lagipun dah abis waktu keje Nur pun saya tak bagi panggil saya Mr. Danial dah. Okey, semua paham?“ Danial tersenyum. Zatunnur hanya mengangguk kepalanya.
            “Tapi saya tengah buat business dengan Mr. Danial ni jadi kene la panggil Mr. Danial. Dah abis buat business nanti baru leh panggil Danial. Tak gitu?“ Semua tertawa mendengar alasan Aathifah.
            “Ade jer alasan awak ni Aathifah. So, nanti boleh awak ngan Nur tolong gantungkan tak langsir-langsir ni? Saya tak pandai la. Tak pun ajarkan saya sekali. Boleh saya tolong sekali. Cepat siap leh cepat kita gi makan. Saya nak belanja Aathifah ngan Nur sekali.“
            “Eh! Tak payah susah-susah belanja makan Mr. Danial. Lepas pasangkan langsir ni semua, saya kene lik awal ada keje sikit kat umah.“ Aathifah beralasan.
            “A’ah la Mr. Danial. Saya pun kene balik cepat ada hal kat umah.“ Zatunnur turut memberi alasan yang sama.
            “Aik! Macam tak sudi jer korang ni. Dah berpakat ker?“ Danial cuba mengusik.
            “Eh! Tak la memang betul ada hal.“ Zatunnur menjawab terlebih dahulu sebelum Aathifah. Aathifah hanya mengangguk mengiyakan.
            “Okey la kalau macam tu. Jom cepat kita gantung. Nanti lewat lak. Nanti nak gi rumah saya lagi.“ Danial cuba melarikan perasaan kecewanya.
            “Nak kita orang gantungkan kat umah Mr. Danial gak ker? Tadi kata nak belajo. Kita orang ajar satu cara pasangnya kat office ni. Dah belajo nanti, Mr. Danial pasang sendiri la kat umah bos. Boleh?“ Zatunnur cuba menyakat Danial.
            “Amboi! Tak sayang saya ker Nur. Tak sudi nak tolong saya ye. Memang la tadi saya kata nak belajo tapi saya risau saya tersalah nanti. Terkoyak pulak langsir tu nanti. Saya tengok pun macam susah sangat nak gantung langsir tu jer. Cantik sangat and grand jer. Takut saya nak pasang sendiri.“ Danial sempat menilik langsir-langsir yang dijahit oleh Aathifah. Memang ternyata cantik dan kemas, tidak macam langsir yang tergantung di rumahnya ketika ini, biasa-biasa sahaja. Jahit lurus sahaja!
            “Oh! Macam tu yek! Okey la kita orang tolong tapi kene bayar la. Ni bukan keje saya ni.“ Zatunnur tersenyum mengusik Danial.
            “Tak pe nanti saya bagi lebih sikit bonus tahun ni.“ Danial yakin menyatakannya walaupun dia tahu Zatunnur sekadar mengusiknya.
            “Eh! Serius lak bos ni. Saya main-main jer la.“ Zatunnur terkesima dengan kata-kata Danial. Aathifah hanya tersenyum mendengar perbualan dan usikan Danial dan Zatunnur sambil tangan terus menggantung langsir.
            ‘Serasi jer dape ni. Siap usik-mengusik lagi. Memang sesuuuuuai sangat!‘ Aathifah bermonolog. Masing-masing terus membantu Aathifah setelah adengan usik-mengusik berlalu.

            Waktu sudah menganjak ke pukul enam setengah petang semasa masing-masing menapak masuk ke rumah Danial. Ini merupakan kali kedua Aathifah dan Zatunnur menjejak kaki ke rumah Danial. Sekali dulu sewaktu mengambil ukuran langsir rumah Danial dan sekarang untuk menggantungkan langsir pula. Masih ingat Aathifah bagaimana dia dan Zatunnur yang sedikit terkejut dengan keadaan rumah Danial yang penuh kesederhaan itu. Mereka menjangkakan rumah Danial gah sepertimana rumah-rumah segala bos-bos di Malaysia ini biasa diami. Kata Danial dia selesa dengan keadaan rumah yang sederhana sahaja. Pun begitu hiasan dalamannya masih memukau dengan stail ringkas dan tersendiri Danial pastinya!
            Setelah seketika memulakan kerja-kerja menggantung langsir telefon bimbit Zatunnur berbunyi. Panggilan dijawab Zatunnur jauh dari pendengaran Danial dan Aathifah. Sekembalinya Zatunnur dia bersuara.
            “Mr. Danial, Aathifah, saya minta maaf saya nak kene balik dah la. Ayah saya telefon. Ada hal sikit kat umah.“ Aathifah terkesima mendengar kata-kata Zatunnur. Dia segera menarik rapat tangan Zatunnur menghampirinya dan berbisik.
            “Eh! Tak kan ko nak tinggalkan aku berdua dengan Danial lak, Nur.“ Aathifah sedikit cemas.
            “Abis tu macam mana? Ayah aku dah marah-marah kat sana tu. Aku memang kene balik ni Aathifah. Sorry, macam aku cakap tadi aku memang ada hal kat rumah ni.“ Zatunnur berbicara dengan nada yang diperlahankan juga.
            “Eh! Tak pe. Nanti saya call pak guard kat depan tadi. Minta dia tolong temankan kita.“ Danial berbicara cuba menyelesaikan masalah yang terjadi. Dengan pantas Danial menelefon pondok pengawal keselamatan taman tersebut. Zatunnur kelegaan tetapi Aathifah nyata masih tidak selesa.
            "Okey la tu, ye Aathifah? Aku betul-betul kena gi ni. Kalau tidak bercerai kepala aku daripada badan aku ni." Zatunnur cuba bergurau bagi menyatakan betapa garangnya bapanya itu.
            "Okey la. Lain kali bagitahu la betul-betul. Aku ingat ko gurau jer tadi. Kalau aku tahu lain kali jer kita pasang langsir ni." Aathifah yang faham benar perangai bengkeng ayah Zatunnur segera membalas.
            "Thanks Aathifah kerana memahami. And sorry tak bagitahu betul-betul tadi." Zatunnur memeluk sekejap sahabatnya itu.
            “Okey, kejab lagi Pak Rahim datang.“ Danial menjelaskan ringkas setelah dia mematikan panggilan yang dibuatnya tadi.
            “Kalau macam tu saya gerak dulu la ye. Aathifah aku gerak dulu tau. Okey kan?“ Aathifah yang terpandangkan wajah kalut Zatunnur hanya mampu mengganggukkan kepala walaupun dia rasa berat nak melepaskan Zatunnur pergi sebelum Pak Rahim sampai.
            Setelah menghantarkan Zatunnur di hadapan pintu masuk banglonya, Danial masuk semula ke rumahnya sambil membuka luas pintu rumahnya. Dia serba salah ingin menghampiri Aathifah untuk terus membantu Aathifah mengantungkan langsir-langsir yang masih tinggal sedikit. Danial bercadang ingin menunggu Pak Rahim di hadapan pintu kayu rumahnya dahulu baru menolong Aathifah semula apabila Pak Rahim sudah datang. Dia hanya memerhatikan Aathifah membuat kerjanya daripada kejauhan.
            Aathifah yang nyata ingin cepat menyudahkan kerjanya segera meneruskan tugasnya. Entah macam mana silapnya hujung kain langsir yang baru ingin dipasangnya itu terbelit di kakinya dan menyebabkannya hilang imbangan diri. Sepantas kilat Danial meluru ke arah Aathifah apabila dia ternampak Aathifah hampir terjatuh dari kerusi yang dijadikan alas untuk dia berdiri lebih tinggi untuk menggantungkan langsir-langsir tersebut. Pinggang ramping Aathifah menjadi tempat pautan kedua belah tangan Danial supaya dapat memaut Aathifah dari jatuh ke lantai. Aathifah yang malu dengan tindakan Danial segera membetulkan teguh berdiri dirinya itu. Danial turut terkesima dengan keadaan mereka ketika itu, segera menarik tangannya apabila Aathifah sudah dapat berdiri teguh atas kerusi semula.
            “Thanks Danial. Kain langsir ni terbelit kat kaki saya lak. Tu yang tak dapat nak imbang.“ Masih mampu Aathifah berbicara walaupun wajah sudah bertukar warna.
            “Tak pe. Mujur saya sempat sambut kalau tak tahu saya nak jawab pe ngan famili awak. Terkejut betul saya tengok tadi. Sorry, saya terpaksa memaut pinggang awak. Kalau tak buat macam tu saya risau awak jatuh macam nangka busuk lak.“ Danial cuba melawak.
            “Amboi! Sempat lagi tu perli saya. Anyway thanks.“ Aathifah meneruskan kerja-kerja seperti tiada apa-apa yang berlaku.
            "Maih sini biar saya yang gantungkan. Awak tunggu jer kat bawah. Tengok betul ker tak caranya." Danial yang risau perkara yang sama berlaku lagi segera memberitahu. Danial juga terus membantu Aathifah tanpa menyedari keadaan sekeliling. Danial cuba menceriakan suasana dengan meneruskan bicara yang sedikit merapu.
            “Tapi kan kenapa kalau jatuh kene guna simpulan bahasa macam nangka busuk jatuh ye? Kenapa tak guna nangka elok jer?“
            “Entah. Sebab nangka busuk kalau jatuh memang buruk kot rupa ngan bunyinya. Ye la dah tebuk sana-sini, lebam sana-sini. Macam muka orang yang jatuh gak la kot nampak buruk, masam muka menahan sakit ngan lebam-lebam lagi. Bunyi jatuhnya pun gedebuk! Bukan pang! macam pinggan jahut pecah ke lantai.“ Aathifah dan Danial tersenggih-senggih mendengar alasan mengarut Aathifah pula.
            Danial yang membantu Aathifah menggantungkan langsir tidak menyedari ada penyangkuk yang sedikit tajam hujungnya menusuk baju kemejanya dan apabila kain langsir di tarik ke atas bajunya juga tertarik dan menyebabkan bajunya terkoyak besar. Mujur sahaja Danial memakai baju singlet. Bunyi koyakkan itu mengejutkan mereka dan Danial segera turun dari kerusi yang dinaiki dan melihat bajunya yang terkoyak itu.
            “Alamak terkena baju lak penyangkuk ni. Kejab ye Aathifah, saya gi tukar baju.“ Danial yang tidak selesa berkeadaan begitu meminta diri. Aathifah tidak terkata apa-apa melihat situasi itu dan hanya mengangguk.
            ‘Hari ni aku jadi burung belatuk jer la kot. Asyik-asyik mengangguk jer kejenya!‘ Aathifah tersenyum sendirian bila mana berkata sendirian. Mujur kala itu Danial telah berpaling menuju ke biliknya. Aathifah meneruskan kerja-kerja memasang penyangkuk-penyangkuk pada kain langsir. Danial yang tidak selesa dengan keadaan bajunya mula membuka baju kemejanya dengan spontan dan meletakkannya di kepala sofa. Langkahnya termati apabila terdengar loceng pintu berbunyi.
            “Eh! Macam mana leh tertutup lak pintu tu? Tadi saya dah buka luas pintu tu. Angin tiup kot. Kejab Aathifah jangan panjat lagi kerusi tu. Nanti jatuh lagi. Saya nak buka pintu tuk Pak Rahim kejab.“ Danial terus berlalu mendapatkan pintu kayu rumahnya.
            “Ini Encik Danial ke? Kami dari Jabatan Agama Islam datang jumpa encik sebab dapat aduan yang encik berkhalwat dengan seorang wanita Muslim kat sini. Boleh kami masuk?“ Demi pintu dibuka oleh Danial seorang lelaki lengkap berjaket hitam bersuara. Danial terpinga-pinga mendengar kata-kata lelaki tersebut. Aathifah yang mendengar kata-kata itu berpaling ke arah pintu.
            “Siapa perempuan tu Encik Danial?“ Kata-kata itu membawa bersama pandangan Danial kepada Aathifah. Danial hilang kata-kata.
            “Ya Allah!“ Hanya itu yang terpacul keluar dari bibir mungil Aathifah dan tubuhnya telah terduduk di lantai. Melayang-layang tubuhnya, Aathifah rasakan ketika itu. Airmata begitu pantas muncul dan mengalir laju di pipinya. Danial betul-betul keliru dengan apa yang berlaku. Mana perginya Pak Rahim yang tidak-tidak muncul tiba. Segala kesalan kerana dia tidak menyedari kelewatan Pak Rahim lebih awal tidak berguna lagi. Nasi sudah menjadi bubur!