Hawa Telinga

Friday 31 October 2014

Novel : Aku Nak Kerja Bukan Misi Bab 19








Cinta Si Ketam

“S
aya tak kisah pun. Bukannya saya tak pernah jadi setiausaha encik. Jangan ingat saya akan takut dengan ancaman encik tu." Nurul masih dengan usikannya. Dia sudah terbiasa berbicara santai seperti itu dengan Saiful Haq. Mungkin kerana sikap rendah diri Saiful Haq selama ini terhadap semua pekerjanya. Jadi setiap pekerja merasakan Saiful Haq seperti rakan sahaja.
“Makin berani awak sekarang ni ye, Nurul. Bagus!  Saya suka sikap awak yang baru ni.” Saiful Haq memujinya. Nurul terasa malu dengan pujian itu. Merah pipinya mendengarkannya.
“Saya keluar ambil organizer dulu.” Nurul pantas berlalu. Saiful Haq perasan dengan pipi Nurul yang kemerahan itu. Dia tidak berkata apa-apa atau mengusik gadis itu lagi. Tidak mahu timbulkan salah faham antara mereka.
            Seketika kemudian Nurul kembali bersama senaskah buku perancangan tahunan yang mengandungi segala aktivi dan temu janji Saifuddin. Nurul duduk di kerusi yang bertentangan daripada Saiful Haq. Saiful Haq memerhatikan setiap gerak-geri sopan Nurul itu. Gadis yang berkulit putih, manis walaupun memiliki sedikit jerawat di mukanya, sopan bertudung dan murah dengan senyuman. Ramah dan cekap menjalankan tugas yang diberikan. Salah seorang gadis yang akan ada dalam senarai gadis idaman lelaki pada pandangan Saiful Haq.
“Okey, Encik Haq. Ni senarai aktiviti dan temu janji Encik Saifuddin. Mungkin Encik Haq nak tengok-tengok dulu sebelum buat rancang encik tu.” Nurul terus sahaja berbicara seperti biasa sebaik dia melabuhkan punggungnya pada sofa yang terdapat dalam bilik Saifuddin itu.
“Okey, thanks.” Saiful Haq segera membalas dan mengambil buku yang diunjurkan kepadanya itu. Setelah membelek-belek aktiviti beberapa minggu akan datang dan mendapati akan tarikh-tarikh yang sesuai, maka Saiful Haq pun berbincang dengan Nurul akan rombakan yang dimaksudkannya tadi. Nurul mendengar dengan teliti dan memberikan beberapa pandangan kepadanya.
“Boleh ker kita buat macam ni, encik? Encik Saifuddin tak marah ker nanti?” Nurul mula sangsi dengan rancangan yang telah dirombak tadi.
“Awak takut Saifuddin memarahi awak ker? Awak jangan risau, kalau dia tanya, awak cakaplah saya yang rombak semuanya. Insya-Allah dia tak kan marahkan perkara yang kecil macam ni. Lagi elok awak jangan maklumkan awal-awal kepadanya. Kita buat surprise lagi best, kot. Apa kata awak?” Saiful Haq teruja bertanya.
“Okey juga tu. Kalau macam tu, kalau Encik Saifuddin marahkan saya nanti pun, saya tak nampak sebab Encik Saifuddin dah ada kat sana. Bagus betul idea encik ni. Tak sangka saya begitu akrab sekali hubungan encik dengan Encik Saifuddin sampai encik terfikirkan perkara ni semua.” Nurul tersenyum manis. Saiful Haq membalas senyuman manis itu dengan senyuman manis juga.
“Kalau dah tak de apa lagi, saya keluar dululah encik. Saya nak hubungi semua untuk memberitahu perubahan ini semua. Harap semuanya berjalan lancar.” Nurul bertanya.
“Harapnya macam tu la. Awak boleh teruskan kerja awak. Saya nak kejutkan Saifuddin sekejap.” Saiful Haq membenarkan. Nurul terus berlalu keluar.
“Ada apa dengan Nurul tadi?” Saifuddin bertanya. Saiful Haq pantas berpaling kepada Saifuddin.
“Baru ingat nak kejutkan ko. Puas tidur?” Saiful Haq bersuara.
Sorry. Tertidur lak tadi. Kenapa tak kejutkan tadi?”
“Aku tengok ko macam penat sangat, tu yang aku tak kejutkan. Kalau macam tu aku balik bilik aku dululah.”
“Nak balik dah. Abis tu kenapa datang tadi? Ada hal apa yang nak dibincangkan?” Saifuddin keliru.
“Tak de apa. Saja nak tengok-tengok adik aku yang sorang ni.” Saiful Haq tersenyum sambil menumbuk perlahan dada Saifuddin yang tegap itu.
“Okey la, aku gerak dulu.”
Bro, terima kasih.” Saifuddin tersenyum. Dia berterima kasih kerana mempunyai seorang abang yang sentiasa memahaminya. Saiful Haq membalas senyuman Saifuddin sebelum berlalu keluar.

************************************************

Umairah yang sudah selesai menyediakan juadah makan petang bagi penginap di hotel itu terkejut dengan bunyi riuh yang datang di hadapan pintu masuk dapur itu. Dia segera membasuh tangannya sebelum berlalu pergi ke arah keriuhan itu.
“Awak ni saja nak malukan saya ker? Sebab tindakan awak tu, ada ahli keluarga pengantin yang tidak puas hati dengan hidangan hari ni.” Maria tegas bersuara. Staf-staf memasak yang ada ketika itu semuanya telah berada di hadapan pintu itu melihat adegan sebabak tersebut.
“Apa yang lainnya? Saya gunakan resepi yang sama dengan hidangan semasa food testing tu.” Cef Fiq tenang menjelaskan.
“Hari ni awak yang sediakan semua masakan itu, kan. Kalau dari hari tu awak yang menyediakan semua ni dari awal, mungkin tiada komplen macam ni akan timbul.” Maria masih mahu bertegang urat. Beberapa orang pekerja mula bersuara-suara memperkatakan perilaku Cef Fiq dan Maria. Umairah turut simpati dengan Cef Fiq. Dia tidak mahu campur tangan kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.
“Maaflah kalau sebab tu yang boleh menyebabkan rasanya tak sama. Kalau awak masih tidak puas hati dengan permohonan maaf saya, awak boleh failkan komplen awak kepada pihak atasan. Kalau tak de apa-apa lagi, saya masuk ke dalam dulu. Masih ada kerja saya yang belum siap.” Cef Fiq berlalu pergi dan membiarkan Maria sendirian. Pekerja-pekerja yang lain turut masuk ke dalam mengikuti jejak Cef Fiq.
“Ye, saya memang akan komplenkan hal ni kepada pihak atasan. Awak tunggu sahajalah nasib awak nanti.” Maria seperti kerasukan. Umairah kehairanan dengan perubahan perangai Maria itu. Tidak sama dengan perangainya tempoh hari. Umairah turut rasa bersalah dengan apa yang terjadi. Dia rasa tidak senang duduk bila memikirkan perkara itu. Dia mula menghampiri Cef Fiq.
“Cef, maafkan saya kalau sebab saya cef dapat susah macam ni. Sebab saya cef akan mendapat tindakan pihak atasan.” Umairah tenang bersuara.
“Bukan salah awak, Umairah. Saya yang minta bantuan awak tempoh hari. Awak jangan risau akan hal ni, pihak atasan dah maklum akan masalah ni daripada hari tu lagi. Insya-Allah, tiada apa yang akan berlaku pun.” Cef Fiq menjelaskan sebaik mungkin.
“Baguslah kalau macam tu. Harap semuanya lancar.” Umairah kelegaan.
“Dah sambung kerja awak. Bersembang macam ni kalau tertangkap dengan pihak atasan memang tak dapat saya nak tolong.” Cef Fiq mengusiknya.
“Baik bos.” Umairah sengaja membuat tabik hormat. Cef Fiq turut tersenyum dengan usikan Umairah itu. Dia kembali semula ke dapurnya untuk mengemaskan dapur yang digunakannya tadi. Selesai mengemaskan dapur dia mendapatkan Nizam yang masih mencuci perkakasan di sinki.
“Nizam, saya dah sudah kemas. Saya pulang dulu, ye.” Umairah memaklumkan kepada Nizam.
“Oh! Okey. Hati-hati. Kalau awak sanggup tunggu saya, saya boleh hantarkan awak pulang.” Nizam masih tidak putus asa dengan hasratnya untuk menghantarkan Umairah pulang.
“Tak pe la. Awak pun tahu saya tak mahu menyusahkan awak. Bas banyak, saya boleh naik bas jer. Bukannya tak biasa.” Umairah menolak dengan sopan perlawaan Nizam itu.
“Okey. Susah juga nak tahu istana Tuap Puteri ni, kan. Entah bila agaknya saya dapat peluang tu.” Nizam tersenyum mengoda. Umairah yang tidak mahu mengulas lanjut perkara itu hanya tersenyum.
            Umairah terkejut mendengar pertengkaran kecil antara Cef Fiq dan Maria di tempat letak kereta itu. Dia yang akan menggunakan laluan di tempat letak kereta itu setiap kali dia hendak ke perhentian bas yang berada di seberang tempat letak kereta itu.
“Apa lagi yang awak tak puas hati ngan saya ni, Cik Maria? Tadi awak kata nak laporkan perkara tu kepada pihak atasan, kan? Jadi silakan. Tapi satu saya nak ingatkan awak. Awak ingat pihak atasan akan terima bulat-bulat perkara ni ker? Alasan yang awak katakan tadi tak munasabah langsung. Kami memasak berdasarkan resepi. Memang tidak dinafikan, air tangan seseorang tidak sama tapi pada dasarnya ianya tetap akan mempunyai rasa yang hampir sama kecuali bahan atau jenama yang digunakan berlainan daripada masakan tempoh hari.” Cef Fiq serius bersuara.
“Ye, saya memang tidak puas hati dengan awak. Selagi awak ada di depan mata saya, selagi itu rasa itu tak kan pudar daripada hati saya.” Maria lantang bersuara.
“Abis tu, awak nak saya pergi jauh dari sini. Baiklah kalau itu yang awak mahu, saya akan cuba tunaikan secepat mungkin.” Cef Fiq sayu.
“Bagus! Lagi cepat lagi bagus.” Maria tegang.
“Maria, saya tak sangka awak berubah sampai macam ni sekali. Saya rindukan kemesraan kita sebagai sahabat seperti dulu-dulu. Hanya sebab saya tolak cinta awak, awak terus jadi macam ni. Kenapa awak nak seksa diri awak sampai macam ni sekali? Cinta itu tidak boleh dipaksa-paksa. Awak pun tahu itu.”
“Seksa diri, awak cakap. Saya bukan nak seksa diri saya, tapi saya nak awak malu. Merasa malu seperti mana yang saya rasa. Sehingga kini rasa tu tetap ada dan seolah-olah semua masih memperkatakan perkara itu.” Maria serius. Matanya mula memerah.
“Dah la. Saya dah lewat ni. Anak saya dah tunggu saya ni. Saya pergi dulu.” Cef Fiq berlalu ke arah keretanya dan berlalu pergi dengan pantasnya. Mata Maria masih memandang ke arah kereta Cef Fiq yang sudah di kejauhan. Umairah meneruskan langkah kakinya yang tergendala sebentar tadi walaupun dia merasa simpati dengan Maria.
Seketika kemudian Maria mula bergerak untuk menghampiri keretanya namun dek kerana dia menyeberangi jalan tanpa memandang terlebih dahulu ke arah kiri dan kanan, dia hampir sahaja dilanggar oleh sebuah kereta yang kebetulan melalui jalan tersebut. Umairah yang menyedari keadaan itu segera berlari ke arah Maria dan sempat menariknya ke tepi. Mujur dia sempat, dia kemudian mengangkat tangan kanannya sebagai simbol memohon maaf kepada pemandu yang juga berjaya memberhentikan keretanya daripada terus melanggar Maria. Umairah dapat melihat pemandu tersebut hanya menggelengkan kepala dengan situasi itu sebelum terus berlalu pergi.
Sebaik kereta itu berlalu pergi, Umairah dikejutkan dengan tepisan kasar tangannya yang memaut bahu Maria tadi.
“Lepaslah. Aku tak perlukan pertolongan kau. Aku bukannya lemah.” Maria tegas bersuara.
“Saya bukan tolong sebab fikir Cik Maria lemah tetapi saya lihat macam Cik Maria kaku tak mahu bergerak. Maaflah kalau pertolongan saya mengguris hati Cik Maria.” Umairah cuba berlembut kerana tidak mahu menambahkan kepiluan hati Maria.
“Sudahlah. Aku bukan tak tahu, kamu pun sama macam pekerja Fiq yang lain. Suka memerli dan mengata aku. Teruskan sahaja niat korang tu semua. Telinga aku dah lali dengan cemuhan dan cacian korang  tu.” Maria masih menyinga.
“Maaf kalau Cik Maria rasa macam tu dengan saya tapi saya ni bukan mudah untuk percaya cete orang lain melainkan saya mendengar sendiri daripada empunya diri. Tapi daripada apa yang saya dengar tadi, apa yang Cef Fiq katakan itu ada benarnya. Cik Maria yang menyeksa dan memalukan diri cik sendiri. Cinta itu datangnya daripada Allah. Mohon pada-Nya agar melahirkan rasa cinta itu dalam diri Cef Fiq bukannya dengan melakukan semua perkara tak berfaedah ni. Allah itu Maha Mendengar dan Maha Pemurah. Insya-Allah jika ianya baik untuk Cik Maria, satu hari nanti cinta itu akan datang sendiri kepada cik. Yang penting jangan putus-putus memohon pada-Nya dan semaikan dulu cinta yang utama pada-Nya.” Umairah cuba menyedarkan Maria.
“Maaflah kalau bebelan saya ni menguris hati cik. Saya cuma ingin mengingatkan cik akan adanya Dia Yang Maha Esa yang selalu bersedia mendengar apa sahaja permintaan dan keluh kesah kita.” Umairah mula mengorak langkah sebaik selesai menyatakannya. Namun kakinya terhenti tatkala mendengar esakan kecil Maria. Dia berpaling semula memandang Maria. Maria kini sudah terduduk di atas lantai tempat letak kereta tersebut. Tumpah lagi simpatinya melihat wanita yang dalam kesedihan sebegitu. Wanita yang sentiasa lemah dengan ujian daripada-Nya sebelum menemui kekuatan mengharunginya.
Esakan mula bertukar kepada tangisan yang semakin melebat. Umairah mendekati Maria untuk memberikannya sokongan dan dakapan agar Maria menghemburkan segala bebanan itu. Sebaik Umairah menghampiri dan duduk sama rendah dengan Maria, Maria mula memeluknya dan menangis semahunya dibahu Umairah. Umairah membalas pelukan itu dan mengusap lembut kepala Maria yang bertudung itu. Tudung chiffon berlapis tiga yang pastinya mahal harganya, setahu Umairah.
“Cik Maria, apa kata kita kembali ke kereta cik dulu. Tak berapa manis rasanya cik menangis kat sini. Nanti ada mulut yang bawa cete pula.” Umairah cuba menyedarkan situasi mereka ketika itu. Maria yang tersedar mula mengelap air matanya dengan hujung jari dan pantas berdiri. Umairah memimpinnya beredar ke arah keretanya. Setelah membantu Maria duduk di kerusi pemandu, Umairah kembali bersuara.
“Macam mana, nak sambung menangis? Kalau nak, saya boleh pinjamkan bahu saya lagi.” Usikan Umairah itu berjaya menggeletek hati Maria dan membuatnya tersenyum, geli hati.
“Terima kasih. Cik Umairah, kan?” Maria inginkan kepastian.
“Ha! Kan manis dan cantik kalau senyum macam tu. Nah, lap lagi air mata yang masih bersisa tu.” Umairah tersenyum sambil menghulurkan beberapa helai tisu poket yang sentiasa ada dalam beg tangannya itu. Maria mengambilnya dan menyapu kawasan matanya itu.
“Cik Maria dah okey, kan? Kalau macam tu saya minta diri dululah ye. Nanti terlepas pula bas saya.” Umairah kembali bersuara.
“Cik Umairah tinggal di mana? Boleh saya hantarkan.”
“Tak payah bercik-cik. Panggil Umairah sahaja. Tak pe saya boleh naik bas.”
“Maafkan kelakuan saya tadi. Mungkin sebab tu Umairah tak sudi nak tumpang saya.” Maria sayu.
“Eh! Bukan macam tu. Saya tak nak menyusahkan Cik Maria. Lagipun mungkin tak sehaluan dengan jalan yang Cik Maria nak ambik.” Umairah serba-salah.
“Kalau tak sehaluan pun tak pe. Saya akan hantarkan sebagai tanda mohon maaf saya dengan Umairah.”
“Tak perlu sampai macam tu. Saya faham keadaan Cik Maria tadi. Saya tak ambik kisah pun.”
So, tinggal kat mana?” Maria masih ingin mengetahuinya.
“Taman Sejati Tiga.” Umairah memberitahu juga kerana tidak mahu memanjangkan perkara itu.
“Satu jalan dengan pejabat saya jer pun. Jom saya hantarkan.” Maria berkeras untuk menghantarkannya. Umairah hanya menurut setelah melihat kesungguhan Maria itu.
            Setelah kereta tersebut bergerak beberapa minit, Maria kembali bertanya.
“Dah lama ker kerja kat sana?”
“Tak juga. Baru beberapa bulan sahaja.”
“Oh! Ingatkan dah lama. So, macam mana kerja dengan Fiq, maksud saya Cef Fiq?” Maria berbasi-basi.
“Alhamdulillah semuanya bagus. Cef Fiq senang memberi tunjuk ajar dan ringan tulang membantu kami. Seorang ketua yang berkaliber dan beriman.” Umairah memuji.
“Beriman?”
“Ye la, setiap hari sebelum memulakan kerja kami akan berkumpul dan Cef Fiq akan membacakan beberapa doa sebelum memberi taklimat dan tugasan kepada kami. Dia juga tidak melewatkan solatnya malah selalu juga mengimamkan kami bersolat.”
“Oh! Macam tu. Jadi perkara itu bukan sekadar khabar anginlah. Ingatkan peminatnya sengaja menokok-nambah perkara itu untuk menaikkan lagi sahamnya.” Maria tersenyum kecil. Umairah turut sama senyum kerana tidak mahu mengulas perihal itu.
“Kalau saya nak tanya sesuatu boleh?”
“Nak tanya apa?”
“Umairah ni pun peminat Cef Fiq ker?”
“Ye, kalau Cik Maria maksudkan berkaitan dengan kerjanya tetapi kalau Cik Maria maksudkan akan dirinya , jawapan saya tidak.”
“Oh! Ye ker. Abis tu, Umairah minat siapa?” Maria menduga.
“Entahlah. Saya ni mana layak nak minat sesiapa.” Umairah tenang menjawab.
“Encik Saifuddin dan Encik Haq pun tak? Biasanya kebanyakan staf wanita hotel tu rata-rata akan kata mereka kagum dan meminati mereka bertiga ni.” Umairah terkesima tak kala nama Saifuddin disebut. Dia hanya mampu tersenyum tawar dengan kata-kata Maria. Kelu lidahnya untuk membalas. Seketika masing-masing hanya mendiamkan diri.
“Umairah, awak rasa..... Fiq....Cef Fiq ada minat kat sesiapa tak?” Maria tersekat-sekat untuk bertanya. Umairah tidak menyangka Maria berani bertanya perkara itu dengan dirinya. Dia hanya memerhatikan wajah Maria yang sedikit kemerahan.
“Kalau awak keberatan nak bagitahu tak pe la. Saya faham. Mungkin awak tiak mahu masuk campur hal peribadi orang. Maaf. Saya tak mampu nak kawal diri saya daripada bertanya soalan ni. Awak abaikan sahaja pertanyaan saya tu.” Maria kembali bersuara.
“Emmmm.... Macam mana nak cakap ye. Saya sebenarnya faham perasaan Cik Maria tapi saya takut juga nak kata apa-apa takut salah maklumat. Saya juga yang berdosa. Apa yang boleh saya katakan ialah saya tak pernah nampak atau dengar dia menghubungi sesiapa selain anaknya. Ada atau tidak dia minat sesiapa, saya tak tahu. Kalau Cik Maria nak tahu, saya boleh tolong tanyakan.” Umairah cuba menenangkan hati Maria dengan jawapan itu.
“Eh! Tak pe, tak pe. Saya tak mahu menyusahkan Umairah. Fiq pernah bagitahu saya dahulu yang dia memang tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan sesiapa pun sebab dia mahu menumpukan perhatian terhadap anaknya selain belum bersedia untuk menjalinkan hubungan dengan wanita lain. Saya sahaja yang masih tidak mahu mempercayai kata-katanya.” Maria tersenyum tawar. Umairah faham kata-kata Maria itu.
“Orang yang beriman tidak betah berbohong, Cik Maria. Cik Maria kena yakin dengan Cef Fiq. Saya rasa Cik Maria pun tahu sebuah hubungan itu terjadi dengan adanya keyakinan di antara satu sama lain.”
“Saya rasa seperti Umairah yang lebih mengenali Cef Fiq berbanding saya. Kalau Umairah nak tahu, saya sudah kenal dengannya sejak di bangku sekolah lagi. Tapi tengoklah saya, saya kalah dengan awak dalam hal ni. Awak lebih matang daripada saya.”
“Mungkin dia cinta pandang pertama Cik Maria dan mungkin juga hanya Cef Fiq yang Cik Maria cintai selama ini. Sebab tu Cik Maria berperasaan macam tu. Maaflah kalau saya salah tetapi pada pandangan saya cinta ni macam kehidupan kita juga. Kita tidak akan matang kalau kita tidak merasai perit getir sebuah kehidupan dan mengalami perubahan dalam kehidupan seharian kita. Mungkin kerana Cik Maria hanya mencintai Cef Fiq, Cik Maria tidak merasai perit getir sebuah percintaan terhadap insan. Saya bukanlah seorang pakar cinta tetapi perubahan yang saya ambil turut mematangkan saya dan cinta saya. Mungkin Cik Maria juga boleh membuat perkara yang sama. Cuba berubah dan berganjak daripada berdiri pada takuk yang sama. Bukanlah mengubah cinta Cik Maria kepada orang lain tetapi cuba tingkatkan lagi cinta Cik Maria kepada Allah terlebih dahulu dan saya yakin, Insya-Allah nanti Cik Maria akan merasai perubahan dan kematangan itu.”
“Insya-Allah, saya akan cuba. Terima kasih kerana sudi mengingatkan saya. Apa yang Umairah katakan itu mungkin ada benarnya. Mungkin cinta saya pada-Nya belum cukup dalam dan hanya sambil lewa sahaja. Sebab tu Allah uji saya sebegini.” Maria mengaku akan kekurangan dirinya. Umairah bersimpati dengan Maria. Dia tidak mampu mengelakkan dirinya daripada perasaan ingin membantunya.
“Kalau Cik Maria tak kisah, boleh saya berikan satu cadangan?” Umairah tiba-tiba terfikirkan cara untuk membantu Cik Maria.
“Cadangan? Pe dia?” Maria curiga untuk mengetahui.
“Tadi Cik Maria ada menyatakan yang Cef Fiq tidak mahu menjalinkan sebarang hubungan lagi sebab belum bersedia selain ingin menumpukan perhatian terhadap anaknya, kan. Pe kata Cik Maria cuba memikat anaknya terlebih dahulu. Mungkin bila anaknya sudah sayang dengan Cik Maria, sayangnya pada Cik Maria pun akan berputik. Tapi ni hanya cadangan jangan pula Cik Maria menaruh sebarang harapan sebab seperti kata saya tadi cinta itu datangnya daripada Allah. Kita manusia hanya mampu berusaha dan berdoa semuanya berjalan seperti mana yang diharapkan.” Umairah tersenyum.
“Saya akan cuba tapi Laila, anaknya Fiq, bukannya tidak kenal saya. Dahulu selalu juga saya berjumpanya. Saya tak rasa ianya akan berjalan dengan lancar.” Maria serius menyatakannya.
“Itu dahulu tetapi sekarang Cik Maria sudah tidak bertemu dengannya lagi, kan. Kenal bukan tiket untuk seseorang jatuh cinta, kan. Ye la. Macam kenalan kita yang lain. Bukan semuanya cinta dan sayangkan kita dalam erti kata yang teristimewa, kan.” Umairah tersenyum manis.
“Betul juga tu. Mungkin sekarang Laila sudah melupai saya. Insya-Allah saya akan cuba lakukannya.” Maria teruja.
“Saya doakan Cik Maria akan berjaya dan cinta yang Cik Maria dambarkan akan muncul juga nanti. Kalau Cik Maria nak apa-apa bantuan  nanti, jangan segan-segan hubungi saya.” Umairah cuba memberi keyakinan kepada Maria.
“Terima kasih sekali lagi, Umairah. Dalam beberapa minit ni banyak yang awak telah bantu saya. Tak terbalas saya dengan jasa awak, ni.”
“Tak perlu nak balas jasa saya. Saya lakukannya kerana Allah. Semoga saya mendapat pahala membantu Cik Maria, ni.” Umairah tersenyum.
“Insya-Allah, kebaikan awak ni akan mendapat perhatian daripada-Nya.” Maria turut tersenyum.
“Sembang punya sembang tak sedar dah nak sampai. So, lorong mana rumah awak ni?” Maria inginkan kepastian.
“Cik Maria boleh ambik lorong kanan kat depan sana. Rumah saya yang ketiga.”Umairah memberitahu. Setelah tiba pada rumah yang diperkatakan, Umairah pantas berterima kasih sebelum turun.
“Terima kasih, Cik Maria.”
“Tak perlu bercik-cik juga dengan saya. Panggil Kak Maria jer.”
“Okey, Kak Maria.”
“Okey. Jumpa lagi nanti. Terima kasih sekali lagi ye, Umairah.”
“Sama-sama kasih.” Umairah tersenyum. Maria membalas senyuman itu sebelum meneruskan pemanduannya. Umairah benar-benar berharap Maria berjaya memiliki cinta Cef Fiq. Dia juga berharap perubahan yang baru kepada Maria dan Cef Fiq nanti. Perubahan kepada yang lebih baik.
‘Kalau Mark Adam rasa mukanya macam katak, aku ni pula macam ketam. Menasihati orang pasal cinta tapi sendiri ada masalah cinta yang dari dahulu belum betul-betul selesai. Buat lawak jer!’ Umairah monolog sendirian bila mana terkenangkan masalahnya dengan Syawal yang kembali muncul. Dia sudah membulatkan tekat untuk segera menyelesaikannya agar Syawal tidak menaruh harapan padanya lagi. Masalahnya pada siapa dia dapat menaruh bantuan yang agak berat itu. Siapa yang sudi membantunya tanpa mengharapkan apa-apa balasan.
‘Harap-harap Mila dapat memikirkan jalan penyelesaiannya nanti.’ Umairah berkata dengan hatinya sendiri. Dia yakin Jamilah pasti mempunyai beberapa jalan penyelesaiannya nanti, Insya-Allah. Dia yang memandang rumah Jamilah mula menghantar pesanan ringkas kepada sahabat baiknya itu.
                                  
                                   Salam, Mila. Ko kat umah, kan?
                                   Sekejap lagi aku dtg umah ko.
                                   Nk bincang sesuatu. Boleh?

Seketika kemudian pesanan tersebut berbalas.

                                           Wasalam. Okey, set. Jgn lupa bw mknn.
                                   Lapo ni. Hihihi.

Umairah menggelengkan kepalanya membaca pesanan ringkas tersebut. Faham benar dengan tabiat Jamilah yang kurang gemar memasak apabila tinggal bersendirian itu. Umairah pantas memasuki rumahnya untuk membersihkan diri dan menyediakan sedikit juadah untuk sahabatnya itu.

2 comments:

Unknown said...

Wah, best ya karya awak.. ada manfaat di sebalik kisah.. jika buku awak dh keluar, saya nk jadi org terawal membelinya.. ^.^

Unknown said...

Wah, best ya karya awak.. ada manfaat di sebalik kisah.. jika buku awak dh keluar, saya nk jadi org terawal membelinya.. ^.^