Hawa Telinga

Wednesday 1 October 2014

Novel : Aku Nak Kerja Bukan Misi Bab 17






Percikan

U
mairah malas untuk membalas kata-kata Jamilah dan hanya mendiamkan diri. Setelah kereta Jamilah bergerak dan berlalu di hadapan Saifuddin, Umairah hanya mampu memandang seketika wajah keruh Saifuddin sebelum kembali memandang hadapan semula.
            Hati Saifuddin kembali tenang setelah melihat Umairah dan Jamilah keluar daripada restoran itu dengan selamat tanpa diekori oleh Nizam dan Fendi. Dia kembali semula ke arah meja mereka tadi.
“Maafkan saya, saya terpaksa balik hotel dulu. Waktu lunch pun dah nak tamat ni.” Saifuddin yang masih tidak puas hati dengan tindakan Nizam dan Fendi mengekori Umairah dan Jamilah, segera meminta diri sebelum sesuatu yang tidak diingini dilakukannya terhadap dua pemuda itu.
“Ha! Lupa nak bagitahu, Umairah dan Jamilah pun dah pulang. Ada hal penting agaknya. Tapi jangan risau, saya akan jelaskan bil-bil ni semua.” Saifuddin menyambung.
“Dah balik!? Tapi tak nampak pun mereka lalu tadi.” Fendi bertanya kehairanan. Nizam yang mendengar penjelasan Saifuddin mula menggenggamkan buku limanya, tidak puas hati.
“Kat tandas sini ada juga pintu keluar terus ke kawasan letak kereta. Itu yang awak tak nampak mereka keluar. Okey, la. Saya gerak dulu. Assalammualaikum.” Saifuddin tetap menghulurkan salam. Kedua-dua pemuda itu menjawab salamnya.
Saifuddin segera berlalu ke kaunter untuk membuat pembayaran. Namun dia terkejut dengan jawapan yang diberikan oleh stafnya itu.
“Bil tersebut dah dijelaskan, bos. Cik tadi dah bagi pada Mira sebelum dia ke tandas. Ni dia bakinya.” Ikhwan pekerja di kaunter pembayaran menjelaskan.
“Oh! Ye ke. Tak pe la. Nanti saya pulangkan baki ni padanya. Thanks.” Saifuddin menjawab sebelum melangkah keluar.
********************************************
Pagi itu seperti biasa keadaan di dapur hotel sentiasa sibuk dengan masing-masing bertungkus-lumus untuk menyiapkan juadah sarapan pagi itu. Nizam yang masih lagi berpasangan dengan Umairah dalam menyiapkan beberapa manisan hanya mendiamkan diri tanpa mengeluarkan sepatah dua kata. Dia hanya melakukan perkara yang Umairah minta lakukan. Umairah perasan akan kelainan tingkah laku Nizam itu.
Melihatkan wajah masam mencuka Nizam, Umairah tahu pastinya Nizam terasa dan marah dengan tindakan dia dan Jamilah semalam yang meninggalkannya dan Fendi begitu sahaja di Restoran Wangian Kasih. Kalau dia di tempat Nizam pun dia pastinya sedikit sebanyak akan terasa seperti mana yang dirasai oleh Nizam itu.
‘Macam mana nak pujuk dengan dia ni, ye? Nak pujuk? Eh! Apa yang aku pikirkan ni? Dia bukannya budak kecik lagi yang nak dipujuk bagai.’ Umairah monolog sendirian.
‘Tapi aku mesti mohon maaf ngan dia sebab cabut macam tu jer semalam. Salahku jugak sebenarnya, kan.’ Umairah memutuskan untuk melakukannya. Dia cuba mencari-cari masa yang sesuai untuk memulakan bicaranya. Setelah selesai menyediakan juadah terakhir mereka, Umairah cuba berbicara dengan Nizam.
“Nizam, saya minta maaf ye.” Umairah memohon maaf sebaik Nizam tiba dengan membawa perkakasan kotor yang mereka gunakan untuk membuat juadah-juadah tadi. Umairah yang baru beberapa detik memulakan pembasuhannya di sinki, memberhentikan seketika tugasnya itu dan memandang wajah Nizam. Setelah beberapa ketika mendiamkan diri, akhirnya Nizam bersuara.
“Kenapa awak cakap macam tu? Apa salah awak ngan saya?” Nada Nizam kedengaran serius. Umairah menghembuskan keluhan kecil sebelum kembali bersuara.
“Nizam, saya minta maaf sebab semalam  saya dan Jamilah pergi macam tu jer lepas makan. Kami tak maklumkan kepada awak pun terlebih dahulu. Saya tahu mesti awak berkecil hati ngan perbuatan kami tu. Maaf. ” Umairah kedengaran ikhlas memohon maaf.
“Tahu tak pe. Ingat sebaik awak tengok muka saya pagi tadi, awak akan terus minta maaf. Rupanya saya yang terlebih mengharap. Awak langsung tak de niat nak minta maaf pun. Agaknya kalau saya tak buat muka macam ni, entah sampai bila baru awak sedar dan minta maaf.” Nizam memandang dalam mata Umairah.
“Maaf, pagi tadi kepala saya hanya terfikir untuk menyiapkan juadah pagi ni jer. Maaf.” Umairah sayu memohon maaf berkali-kali. Masing-masing hanya mendiamkan diri. Seketika kemudian Nizam kembali melemparkan senyuman manis memikatnya itu. Umairah yang perasan dengan senyuman itu melemparkan wajah kelirunya.
“Saya maafkan awak. Seronok betul buat-buat merajuk dengan awak ni. Rasa macam awak menyayangi dan mengambil berat akan diri saya. I like it.” Nizam kemudiannya mengenyitkan mata kanannya kepada Umairah. Umairah tergamam dan segera mengalihkan pandangan matanya dan berlagak biasa dengan meneruskan pembasuhan perkakasan yang dikumpulkan tadi.
“Awak ke tepi. Biar saya yang basuh semua ni.” Nizam ceria memberitahu sambil dia sudah menghampiri Umairah. Terkejut melihatkan keadaan Nizam yang begitu hampir dengan dirinya itu, Umairah segera berganjak dan itu menyebabkan Nizam dapat mengambil alih untuk mengantikannya mencuci.
“Ka....kalau macam tu, saya mop lantai.” Umairah pantas membasuh tangannya yang penuh dengan buih-buih sabun dan berlalu segera ke arah dapur mereka. Dia sama-sama mengemop lantai dengan beberapa staf yang lain. Nizam tersenyum melihat keadaan kalut Umairah itu. Hatinya berbunga riang dengan apa yang telah diucapkan oleh Umairah sebentar tadi.
Hati Saifuddin pula sebaliknya. Dia yang datang untuk memulangkan baki bayaran bil semalam kepada Umairah pagi itu, sama sekali tidak menjangka akan menyaksikan adengan yang tidak menyenangkan itu. Dia berselindung di balik dinding daripada terus masuk ke dalam dapur tersebut sebelum melangkah kembali semula ke pejabatnya dengan menggenggam erat not-not wang kertas yang berada di dalam poket seluarnya.
Saifuddin tidak sedar akan perbuatannya itu terkesan pada dirinya di sepanjang perjalannya pulang ke bilik pejabatnya, sehinggakan beberapa staf-staf yang memberi salamhormat kepadanya juga tidak didengari dan diendahkannya. Nyata staf-staf mula terasa pelik dengan perangainya dan ada beberapa staf yang ringan mulut mula bercerita berkenaan hal tersebut sesama mereka. Perkara itu mula menjadi topik hangat di hotel tersebut hari itu hinggakan ianya singgah di pendengaran Saiful Haq. Demi mengetahui sendiri perkara sebenar berkenaan perkara tersebut, Saiful Haq mengambil tindakan untuk bertanya sendiri dengan Saifuddin. Dia yang kini sudah berada di dalam bilik Saifuddin mula memerhatikan Saifuddin.
“Kenapa, bro? Ada hal apa nak bincang?” Saifuddin bertanya setelah mendapati abangnya itu hanya mendiamkan diri sejak masuk ke dalam biliknya tadi.
“Kau tau tak satu hotel dok cete pasal ko jer hari ni. Dape kata ko moody sampai tak menjawab salam dan bertegur sape. Ada yang kata ko ada masalah percintaan. Betul ker? Sejak bila pulak ko bercinta ni? Aku tak tahu pun. Dengan sape?”
“Apa yang ko merepek ni. Awek pun tak de, bercinta pe ke bendanya.” Saifuddin yang terkejut dengan pertanyaan Saiful Haq pantas menangkas.
“Abis tu, kenapa lain macam jer hari ni? Tak sihat ker? Stres?”
“Entah! Mungkin juga la. Stres dengan kerja-kerja yang memeningkan ni. Tu sebab aku tak suka kerja kat hotel ni. Tempat aku bukan kat sini.”
“Mungkin aku dah susahkan ko. Sorry.” Saiful Haq sayu.
“Bukan tu maksud aku. Mungkin aku tak biasa lagi. Tapi sekurang-kurangnya ko dah keje semula ni, sedikit-sebanyak bebanan kerja ni berkurangan. Thanks bro.
“Aku rasa ko perlukan percutian yang dapat merehatkan diri dan minda ko.” Saiful Haq kembali bersuara dengan tenang.
“Mungkin juga la.” Saifuddin tersenyum dengan kata-kata Saiful Haq.
“Abis tu ambillah cuti. Dua tiga hari rehat. Kerja sampai bila pun tak habis.”
“Nanti la bila dah tenang sikit, sekarang ni tengah sibuk sangat. Bulan depan kan ada meeting kat Pantai Penarik.”
“Oh! Pasal nak buka cawangan kat sana tu, ye. Bagus la tu. Masa tu nanti boleh la ko bercuti lama sikit.”
“Mungkin kalau aku tak de appointment dengan Datuk Borhan hari berikutnya.” Saifuddin tersenyum tawar.
“Oh! Ko ada appointment dengan Datuk Borhan esoknya. Jadi ko kena balik semula ke sini la lepas meeting kat Terengganu tu.” Saiful Haq inginkan kepastian.
“Macam tu la nampaknya.” Saifuddin tersenyum tawar.
“Okey, la. Aku keluar dulu. Sorry, curi masa ko.”
Thanks, bro.” Saifuddin tersenyum manis. Saiful Haq yang faham dengan maksud terima kasihnya itu membalas senyumannya sebelum berlalu pergi. Rasa terima kasih kerana perasaan ambil beratnya terhadap diri Saifuddin pastinya.
            Setelah abangnya keluar, Saifuddin mula terfikirkan kata-kata awal abangnya tadi. Tentang masalah percintaan.
‘Masalah percintaan? Kalau betul tak pe juga. Apa yang dah ko buat ni, Din. Dia bukannya sesiapa pada ko yang ko nak terasa macam ni sekali. Tengok satu hari ni, satu kerja pun ko tak mampu buat dengan betul. Dok teringatkan hal tu jer.’ Saifuddin monolog sendirian.
Dia kemudiannya berdiri memandang saujana dihadapan cermin besar di belakang kerusinya itu. Pemandangan daripada tingkat tiga puluh tiga hotel berkenaan. Sambil memandang keluar tingkap, dia menyeluk poket seluarnya. Posisi biasa yang dilakukannya setiap kali dia berdiri. Satu kebiasaan baginya sejak kecil lagi. Saat itu dia terasakan helaian kertas di dalam poketnya itu. Segera dia mengeluarkan isi di dalam poket tersebut dan ianya adalah baki dan bil Umairah semalam.
‘Mungkin aku patut bagi bakinya pada Mila sahaja. Itu yang terbaik. Aku terleka. Kan aku dah berjanji tak akan muncul di hadapannya lagi.’ Saifuddin berkata dengan dirinya lagi. dia kemudiannya mengeluarkan telefon bimbitnya daripada poket kanannya pula. Pesanan ringkas yang meminta Jamilah untuk bertemunya sebelum dia masuk kerja hari itu telah selamat dihantar.
                                               Nk jumpa? Knp?

                                               Nk minta tlg bg baki bil Umairah smlm

                                               Ok.
Setelah menerima dan menjawab pesanan ringkas daripada Jamilah, Saifuddin kembali memandang not-not wang kertas dan bil tersebut dan ingatannya kembali terbayangkan wajah bersih Umairah. Dia mula beristighfar lama sebelum kembali ke meja kerjanya dan menyambung membuat tugasnya.
Petang itu, Saifuddin kembali menyemak fail setelah dia sudah menunaikan solat zohornya. Pintu bilik yang diketuk beberapa kali mula  singgah dipendengarannya. Dia pantas membalas tanpa memandang pintu tersebut.
“Ye, masuk.”
“Maaf Encik Saifuddin ganggu.” Suara yang bukan milik Nurul, setiausahanya itu mula membuat Saifuddin pantas memandang empunya diri yang bersuara. Dia sedikit terkejut apabila mendapati Umairah yang berada di hadapan pintu tersebut. Dia tergamam seketika dan serasa ada sesuatu yang telah terpercik di dalam hatinya.
“Maaf ketuk tanpa tunggu Cik Nurul. Dia tak de kat depan ni. Dah lama saya tunggu. Saya tak boleh tunggu lama-lama. Saya kena pulang cepat.” Umairah kerisauan.
“Tak pe masuk la. Mungkin Nurul pergi solat agaknya.” Saifuddin cuba menenangkan dirinya untuk menjawab.
“Kenapa ye Encik Saifuddin nak jumpa saya?” Umairah pantas bertanya kerana dia mengejar masa.
“Saya nak jumpa awak?”
“Ye la. Jamilah cakap Encik nak jumpa saya. Dia tergesa-gesa bagitahu tadi sebab dia dah terlewat. Jadi saya pun tak sempat nak tanya kenapaencik nakjumpa saya.”
“Oh! Macam tu. Sebenarnya saya minta dia tolong pulangkan duit baki bil lunch awak semalam  ni.”
“Oh! Macam tu. Seingat saya semalam saya dah suruh simpan sahaja bakinya. Bukan banyak pun lebihnya.”
“Staf saya memang saya ajar tidak menyimpan baki bayaran walaupun diizinkan oleh pengunjung. Nah ini bakinya.” Saifuddin tenang menyerahkan baki duit dan bil tersebut.
“Terima kasih. Kalau tak de apa-apa lagi, saya pulang dulu.”
“Okey.” Ringkas balasan Saifuddin dengan wajah yang serius. Mendengarkan kata-kata Saifuddin itu, Umairah mula memusingkan badannya dan melangkah keluar. Beberapa tapak melangkah, Umairah mula memberhentikan langkah kakinya dan memandang semula wajah Saifuddin.
“Encik Saifuddin, saya rasa Encik Saifuddin tak perlu menjauhkan diri daripada saya hanya kerana kekhilafan yang encik lakukan itu. Kita manusia tidak lari daripada melakukan kesalahan. Sedang Rasulullah sallallahhualaihiwassalam yang tinggi martabatnya ampunkan umat, inikan pula saya hamba yang hina. Saya sudah maafkan Encik Saifuddin dan memohon Allah juga memaafkan kekhilafan kita.” Umairah bersuara.
“Maaf kalau tingkah laku saya yang membuatkan encik rasa seperti saya masih tidak memaafkan encik. Saya masih dalam proses untuk menerima semua itu, menyesuaikan diri dengan apa yang telah berlaku dan cuba untuk membuang jauh-jauh kekhilafan itu. Ianya bukan mudah buat saya tapi saya akan cuba. Saya harap encik faham akan keadaan diri saya ni.”                       
“Terima kasih kerana susah payah memulangkan baki ni. Saya pulang dulu.” Umairah menyambung sebelum kembali berpaling dan melangkah.
“Terima kasih, Umairah kerana awak sudi memaafkan saya. Dan terima kasih kerana awak masih sudi untuk memandang saya dan membenarkan saya memandang awak.” Saifuddin membalas. Dan kata-kata itu benar-benar membuatkan hati Umairah berdegup dengan pantasnya dan langkah kakinya terhenti buat seketika. Setelah Umairah tersedar dengan dirinya yang berdiri seketika di situ, dia mula terasa malu dengan ketelanjuran kelakuannya dan mempercepatkan langkah kakinya keluar daripada pejabat tersebut.
            Sepanjang petang itu Saifuddin kembali ceria dan detik-detik Umairah berada di dalam biliknya tadi sentiasa membuatkannya tersenyum gembira. Dia benar-benar terasa dirinya terlepas daripada penjara yang dia sendiri ciptakan itu.

******************************************************

Beberapa minggu berlalu dengan pantasnya dan kini Hotel Teduhan Kasih menjadi tumpuan beberapa orang pelajar praktikal jurusan Pengurusan Hotel dan Kulinari daripada beberapa buah politeknik. Kumpulan Umairah dan Nizam juga akan menerima seorang pelajar praktikal tersebut selama seminggu. Mereka dipertanggung jawabkan untuk memberi beberapa tunjuk ajar serta nasihat sebagai bekalan kepada pelajar-pelajar tersebut apabila mereka sudah berkerja kelak.
            Memandangkan kali ini bilangan pelajar perempuan lebih ramai daripada pelajar lelaki, maka rambanglah mata para pekerja lelaki di hotel tersebut setiap kali memandang dan bertembung dengan para pelajar yang tidak kurang menarik dan cantik orangnya. Nizam juga turut tidak terkecuali mamandangkan pelajar yang sekumpulan dengannya dan Umairah juga merupakan salah seorang pelajar perempuan yang tidak kurang cantik, manis dan berasal daripada Kelantan. Namanya Sarimah. Umairah yang tidak heran dengan mata keranjang Nizam itu hanya membiarkan sahaja Nizam cuba untuk menjual minyak.
“Akak, Abang Nizam tu memang macam tu ker orangnya?” Salimah bertanya suatu hari setelah mereka tinggal berdua.
“Nizam!? Macam mana apa?” Umairah yang kurang faham dengan pertanyaan Salimah kembali bertanya.
“Ye. Ramah terlebih. Eemmm... Macam mana nak cakap ye. Suka mengayat pempuan.” Salimah cuba sebaik mungkin dalam berkata-kata.
“Kenapa kamu cakap macam tu? Macam mana kamu boleh kata dia suka mengayat pempuan pulak?” Umairah ingin tahu lebih lanjut.
“Hari tu, Jeslina kata Abang Nizam juga ada mengayat dia. Akak pun dia selalu mengayat,kan? Tu yang saya cakap macam tu. Salah ker?” Salimah mula risau. Dia sedar dirinya hanyalah pelajar yang sepatutnya lebih menjaga tertib sebagai pelajar.
“Entah la. Mungkin juga Nizam nak tambahkan kenalan dia. Tapi kalau Sarimah rasa rimas atau terasa diganggu jangan segan-segan nak bagitahu dengan Cef Fiq. Dia akan ambil tindakan yang sewajarnya.” Umairah cuba menenangkan hati Sarimah.
“Terima kasih, Akak. Nasib baik ada Akak dan Cef Fiq. Kalau tak tak tahulah macam mana saya nak tahan selama lima bulan kat sini. Saya lebih senang dengan Akak dengan Cef Fiq berbanding dengan yang lain. Senang berbincang dan lebih profesional, macam tu. Yang lain serius sikit dan payah nak tunjuk ajar.” Sarimah meluahkan perasaannya.
“Perasaan kamu jer kot. Ramai lagi pekerja hotel ni yang bagus-bagus dan profesional. Kamu kan baru beberapa hari kat sini, lama-lama nanti kamu dapatlah sesuaikan diri.” Walaupun bersembang, tangan masing-masing masih ligat mengentil tepung untuk membuat karipap.
“Mungkin juga la. Tapi yang paling saya respect ialah Encik Saifuddin dan Encik Saiful Haq. Mereka tu mudah tersenyum dan menyapa semua staf walaupun mereka sebenarnya berjawatan lebih tinggi daripada yang lain.” Mata Sarimah bersinar-sinar tatkala bercerita berkenaan dua beradik itu.
“Itulah antara contoh majikan yang berilmu. Berilmu dengan ilmu duniawi dan ukhrawi.”
“Betullah tu, akak. Baba saya pun selalu cakap macam tu.” Sarimah tersenyum.
“Tapi saya selalu perasan, kalau Encik Saiful Haq ataupun Encik Saifuddin datang meninjau dapur, mereka pasti akan menegur akak. Bertanya khabar akak la. Akak rapat dengan mereka, ye?” Sarimah ringan bertanya.
“Amboi! Rancaknya bersembang. Saya tak de rancak korang bersembang, ye. Kalau saya tak de, tak banyak cakap pun. Balik-balik saya yang banyak berceloteh.” Nizam tiba-tiba menyampuk. Umairah benar-benar bersyukur kerana dia diselamatkan daripada menjawab pertanyaan Sarimah itu dengan kemunculan semula Nizam.
“Kalau semua nak bercakap sape pula yang nak mendengar. Tu sebab kami bagi peluang kepada ko berceloteh. Dah Sarimah, ambik karipap yang dah siap ni dan gi goreng.” Umairah lancar menjawab.
“Baik, akak.” Sarimah pantas membuat apa yang disuruh. Sarimah mahu segera berjauhan daripada Nizam.
“Biar Abang Nizam tolong Sarimah, ye.” Nizam juga pantas ingin membantu Sarimah.
“Nizam, awak tolong sambung buat ni. Ada tinggal sikit lagi. Saya nak ke tandas sekejap.” Umairah juga pantas meminta daripada Nizam. Nizam yang tidak banyak pilihan hanya menurut kerana masa semakin suntuk untuk waktu minum petang di hotel berkenaan.
            Sekembalinya Umairah daripada tandas, dia pergi mendapatkan Sarimah yang sedang menggoreng karipap berkenaan. Sebaik melihat Sarimah sedang dalam keadaan panik kerana kuali yang panas tersebut mula meletup-letup kecil. Semua mula memandang mereka.
“Kenapa ni Sarimah? Awak okey ker? Ada terkena percikan minyak ker? ” Umairah bertanya dan mengambil sudip yang berada di tangan Sarimah. Dia yang menolong Sarimah mengeluarkan karipap daripada kuali. Beberapa percikan minyak yang merecik mulai mengenai tangan Umairah pula.
“Kena sikit jer. Entah, tiba-tiba jer merecik-recik.” Sarimah menjawab dengan kerisauan. Umairah mula memandang tangan Sarimah.
“Lain kali lap tangan kering-kering sebelum memasak. Kalau tak jadi macam ni la. Dalam loker akak ada gel gamat. Ambik dan sapu pada tangan yang terkena tu. Sikit jer kan, tak perlu nak gi klinik, kan?”
“A’ah sikit jer.”
“Kenapa ni, Umairah?” Cef Fiq yang kemudiannya datang bertanya. Nizam turut sama tiba namun hanya mampu memandang kerana dia tidak mahu menyampuk percakapan Cef Fiq.
“Tak de apa. Sikit jer. Kesilapan teknikal.” Umairah tersenyum mengusik.
“Ada yang melecur ker? Nak ke klinik ker? Umairah? Sarimah” Cef Fiq bertanya lagi.
“Tak pe sikit jer mereciknya. Biasalah kalau memasak. Tul tak Sarimah.” Umairah tersenyum memandang Sarimah.
“A’ah cef. Sikit jer ni.”
“Kalau macam tu bagus. Hati-hati memasak. Jangan lupa awak tengah memasak dengan minyak panas jadi sentiasa berhati-hati supaya minyak tu tak terkena dengan diri kita.” Cef Fiq mengingatkan.
“Baik, cef.” Sarimah segera menjawab. Umairah hanya menganggukkan kepala dan meneruskan menggoreng.
“Sarimah nak abang tolong ker?” Nizam bertanya setelah Cef Fiq berlalu.
“Tak pe. Saya gi ambik gel gamat dulu.” Sarimah segera berlalu pergi setelah mendapat kunci loker Umairah daripada Umairah.
“Nizam, awak dah sudahkan ker belum karipap tadi? Kalau belum, awak sambung. Biar saya yang goreng.” Umairah pantas bersuara kerana tidak mahu membuang lebih banyak masa.
            Selesai tugas petang itu, Umairah telah dipanggil oleh Cef Fiq. Umairah mula tidak sedap hati. Risau Cef Fiq akan menyoal lebih lanjut akan perkara tadi.
“Tangan awak tak de melecur teruk kan?” Cef Fiq bertanya sebaik Umairah masuk ke dalam bilik Ketua Cef itu.
“Alhamdulillah, tak de. Sikit jer.”
“Bagus la. Saya ada nak minta tolong awak buat sesuatu ni. Dua minggu lagi ada sesi food testing untuk satu majlis perkahwinan yang akan diadakan di hotel ni bulan hadapan. Saya nak minta tolong jadi ketua bagi menyediakan semua juadah tersebut. Saya akan sediakan tiga orang pembantu kepada awak. Awak perlu sediakan kesemua juadah untuk tiga puluh orang. Ni senarai juadah yang akan awak sediakan dan resepinya. Awak boleh semaknya.” Cef Fiq lemah bersuara sambil menghulurkan beberapa helaian kertas kepadanya.
“Tapi kenapa saya pula yang kena jadi ketua. Kenapa Cef tak pilih Cef yang lain jer? Food testing bukan penting ker? Saya risau saya silap dan akan merosakkan prestasi hotel ni pulak.” Umairah cuba menolak.
“Cef yang lain dah ada tugas mereka masing-masing masa tu. Saya tak ada pilihan lain selain awak. Awak jangan risau, saya percayakan awak. Saya pun dah bincangkan perkara ni dengan pihak atasan dan mereka dah setuju. Jadi saya harap awak sudi membantu saya.” Kelainan wajah Cef Fiq membuatkan Umairah tidak sampai hati menolak dan bertanya lebih lanjut.
“Baiklah saya akan tolong tapi saya akan letak nama Cef sebagai Ketua walaupun saya yang akan mengetuai dan membuat semua juadah itu. Nama saya tidak layak di taruh sebagai Ketua sebab ianya bukan tahap saya lagi. Saya tak mahu nanti nama baik hotel ni tercalar kerana itu. Boleh?”
“Baiklah. Asalkan awak sudi menyediakkannya. Terima kasih.” Setelah memikirkan buat seketika, akhirnya Cef Fiq bersetuju. Cef Fiq tersenyum tawar kepadanya. Umairah membalas senyuman itu dengan senyuman manis. Dia tahu ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Cef Fiq dengan perkara itu. Mustahil Cef Fiq akan melarikan dirinya daripada tugasnya sebegitu. Cef Fiq bukan orang yang seperti itu. Dia pasti itu!

1 comment:

Basyirah Abd Rahman said...

Nasib baik Umairah berterus terang, baru lega hati En Saifuddin tu. Hehe