Hawa Telinga

Thursday 16 October 2014

Novel : Aku Nak Kerja Bukan Misi Bab 18






Mainan Perasaan

“B
aiklah saya akan tolong tapi saya akan letak nama Cef sebagai Ketua walaupun saya yang akan mengetuai dan membuat semua juadah itu. Nama saya tidak layak di taruh sebagai Ketua sebab ianya bukan tahap saya lagi. Saya tak mahu nanti nama baik hotel ni tercalar kerana itu. Boleh?”
“Baiklah. Asalkan awak sudi menyediakkannya. Terima kasih.” Setelah memikirkan buat seketika, akhirnya Cef Fiq bersetuju. Cef Fiq tersenyum tawar kepadanya. Umairah membalas senyuman itu dengan senyuman manis. Dia tahu ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Cef Fiq dengan perkara itu. Mustahil Cef Fiq akan melarikan dirinya daripada tugasnya sebegitu. Cef Fiq bukan orang yang seperti itu.
            Umairah terkenangkan semula perbualannya dengan Cef Fiq dua minggu yang lepas. Dia masih tertanya-tanya akan perubahan perangai Cef Fiq semenjak dia menyerahkan tugasan itu kepadanya. Cef Fiq lebih banyak mendiamkan diri daripada biasa. Seperti yang Umairah jangka, Cef Fiq tidak sesekali mengabaikan tugasnya sebagai Ketua Cef. Walaupun sibuk dengan tugasnya memasak juadah makan tengah hari di hotel itu hari itu, sesekali Cef Fiq akan datang memantau mereka berempat yang sibuk dengan tugas istimewa itu.
            Tepat seperti yang dijanjikan, para tetamu yang datang untuk proses merasa makanan itu tiba pada waktunya dan kini sedang kusyuk melihat dan merasa kesemua sembilan hidangan yang disediakan untuk majlis perkahwinan yang bakal diadakan di hotel berkenaan nanti. Cef Fiq, Umairah dan tiga lagi rakan-rakannya berdiri di belakang meja hidangan untuk memantau kuantiti dan kebersihan hidangan sambil menanti semua tetamu menyudahkan makanan mereka sebelum diberi sebarang komen.
“Umairah, saya nak ke tandas sekejap.” Cef Fiq memberitahunya seketika mereka menanti itu. Umairah hanya menganggukan kepalanya tanda memahami maksud makluman Cef Fiq itu. Umairah perasan sepanjang berada di situ, Cef Fiq banyak mendiamkan diri dengan mempamerkan wajah yang mencuka. Sesekali dia akan mencuri pandang kepada salah seorang tetamu yang hadir tetapi Umairah tidak pasti siapa.
“Sape Ketua Memasak hari ni ye?” Seorang wanita pertengahan tiga puluhan tegas bertanya kepada mereka berempat.
“Ketua Memasak hari ini Cik Aina Umairah tetapi diselia oleh Cef Fiq, Cik Maria. Resepi masih lagi daripada Cef Fiq. Ada apa-apa masalah ker?” Saifuddin yang berada di sebelahnya pantas memberitahu. Seketika itu juga Umairah terpandangkan kad yang tertera di atas meja tersebut yang tertulis apa yang diperkatakan oleh Saifuddin tadi. Dia tidak menyedari sebelum ini akan kad tersebut.
‘Kenapa Cef Fiq berkeras nak letak nama aku sebagai Ketua Memasak ni? Apa masalah dia sebenarnya ni?’ Umairah bertanya dengan dirinya sendiri.
“Oh! Macam tu. Cef Fiq ke mana? Tadi saya rasa dia ada kan?” Maria mula mengendurkan sedikit suaranya.
“Maaf Cik Maria. Cef Fiq ke tandas sebentar. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Umairah bertanya sopan. Maria memandang nama Umairah yang tertera di baju putihnya itu.
“Oh! Cik Umairah. Terima kasih untuk semua hidangan hari ni. Pasangan pengantin pun tiada sebarang komen jadi saya rasa semuanya setuju dengan semua hidangan ni. Mungkin kita akan jumpa lagi nanti.” Maria menghulurkan tangan bersalaman dengannya dan salam itu pantas disambut oleh Umairah. Maria kemudiannya bersalam dengan rakan wanita Umairah yang lain dengan mulut mengucapkan terima kasih kepada mereka. Saifuddin turut tersenyum kepadanya sewaktu Umairah terpandangkan wajahnya.
            Setelah Maria berlalu pergi dengan diiringi oleh Saifuddin, barulah Cef Fiq memunculkan dirinya.
“Umairah, pe kata Cik Maria tadi? Pe yang dia komen?” Cef Fiq bertanya.
“Dia dan pasangan pengantin tiada komen apa pun dan setuju dengan semua hidangan tu.”
“Tu jer? Dia tak komen apa-apa lagi? Ada yang tak memenuhi citarasanya ker?” Cef Fiq masih lagi ingin kepastian. Pertanyaan Cef Fiq itu benar-benar membuatkan Umairah kehairanan.
“Tak de komen yang negatif pun. Cef Fiq ni, dah kenapa? Masakan saya tak sedap ker, tadi?” Umairah cuba mengorek.
“Tak de la. Semua masakan awak sedap. Saja saya nak pastikan jer. Baguslah kalau dah dia cakap macam tu. Jom kita kemas cepat. Boleh kita balik cepat. Awak mesti dah penat sangat. Tangan tu sakit lagi ker?” Cef Fiq kembali seperti biasa. Itulah pandangan Umairah daripada gaya percakapan Cef Fiq.
“Alhamdulillah, tak sakit dah.” Umairah menjawab perlahan dengan wajah yang masih keliru dengan perubahan Cef Fiq itu.
“Bagus!” Cef Fiq tersenyum riang.
“Cef.... Cef...” Umairah benar-benar ingin mengetahui disebalik perubahan mendadak Cef Fiq itu tetapi dia tidak mahu dikatakan menjaga tepi kain orang lalu hasratnya itu dikuburkan.
“Kenapa Umairah?”
“Tak de apalah cef. Saya suka cef dah kembali ceria seperti selalu.” Hanya itu yang mampu diperkatakannya ketika itu dengan harapan Cef Fiq faham maksud hatinya.
“Ada-ada jer awak ni Umairah.” Cef Fiq tersenyum manis. Umairah turut tersenyum manis. Setelah membawa segala perkakasan kotor itu masuk ke dalam dapur untuk dibasuh, beberapa staf senior datang menghampirinya.
“Macam mana tadi. Cik Maria tu ada komen apa-apa tak?” Kak Sofia bertanya.
‘Apahal semua tanya soalan yang hampir samani?’ Umairah bertanya dengan dirinya sendiri.
“Tak de. Dia terima semuanya.” Umairah menjawab ringkas.
“Langsung tak de komen yang tidak kena dengan seleranya? Dia tahu tak resepi itu resepi asal Cef Fiq?” Kak Lili pula bertanya.
“Dia tahu. Encik Saifuddin ada terangkan dengannya tadi. Tapi memang dia tak de bagi komen apa-apa pun. Dah kenapa dengan semua orang ni. Dah dia tak komen apa-apa tak kan saya nak ada-adakan pulak komennya. Ada masalah apa sebenarnya ni?” Umairah cuba untuk mengetahui perkara sebenar disebalik pertanyaan yang  sama itu.
“Tak de. Sebenarnya macam ni. Cik Maria tu selalu berurusan dengan hotel ni. Boleh dikatakan tiap-tiap tahun dia akan berurusan dengan hotel ni. Dia tu wedding planner tapi masih single. Rasanya dah hampir lima tahun dia berurusan dengan hotel ni. Tetapi sejak dua tahun lepas, dia akan memberi beberapa komen negatif tentang hidangan Cef Fiq. Tu sebab tahun ni, cef minta ko yang tolong sediakan hidangan tu semua. Nampaknya tidak sia-sia tindakan cef kali ni.” Kak Lili menerangkan.
“Mungkin betul jugalah khabar angin yang cakap dia berangin dengan cef sebab cef tolak cintanya. Tu sebab dia melepaskan kemarahannya kepada cef. Tapi tahun ni sebab Cef Fiq tak de tu yang dia slow kot.” Kak Sofia menambah.
“Tak baik akak cakap macam tu. Tak kan la sebab hal kecik tu dia nak panjangkan sampai sekarang.” Umairah cuba menyangkal.
“Cinta yang ditolak ni Umairah lain kesannya pada seseorang. Lain orang lain penerimaannya. Ko masih mentah dalam dunia percintaan ni jadi ko tak mungkin faham. Akak yang pernah alaminya akak tau la.” Kak Sofia yang berkulit hitam manis cuba meyakinkan.
“Entah la akak. Tapi yang saya tahu, setiap yang terjadi itu pasti ada hikmah disebaliknya. Mungkin sesuatu yang lebih baik menanti kita daripada yang tidak kesampaian itu. Sabar dan menerima seadanya itu lebih manis daripada terus-terusan mengenangkannya dan mencari salah orang.” Umairah menyatakan pendapatnya.
“Ko ni bagus la Umairah. Berfikiran positif.” Kak Lili memujinya.
“Bila kita positif dengan orang, orang pun akan positif dengan kita akak. Betul tak?” Umairah tersenyum manis.
“Mungkin juga. Dah la sambung kerja ko. Nanti nampak dek cef kena kita semua.” Kak Sofia tersenyum mengusik sebelum mereka semua menyambung kerja masing-masing.

*********************************************

            Musim cuti sekolah yang dinantikan tiba juga dan maka dengan itu waktu yang sibuk juga tiba bagi para pekerja Hotel Teduhan Kasih. Ketika ini warga kerja bahagian dapur semuanya terpaksa turun padang dan bekerja melebihi masa yang sepatutnya kerana memenuhi tuntutan yang diterima oleh pihak hotel. Kesemua tiga dewan hotel telah ditempah untuk majlis perkahwinan yang akan dijalankan pada hari Ahad itu. Seperti yang dipersetujui, kumpulan memasak Umairah dibawah seliaan Cef Fiq akan menyediakan semua hidangan perkahwinan yang ditempah oleh Cik Maria.
            Cef Fiq begitu komited dalam menguruskan segala hidangan dalam memastikan semua hidangan sesempurna yang mungkin. Umairah pasti Cef Fiq tidak mahu menghampakan harapan Cik Maria dan keluarga pengantin yang mengharapkan juadah majlis perkahwinan itu memuaskan hati para jemputan. Umairah turut dapat merasakan apa yang Cef Fiq rasakan ketika itu.
            Setelah semuanya selesai disediakan barulah Umairah dan yang lain dapat melepaskan nafaz kelegaan dan berehat seketika. Umairah yang curi-curi mengintai semua hidangan dan persiapan di dalam majlis resepsi yang meriah itu tersenyum manis terutama sekali tatkala memandang tiga tingkat kek perkahwinan yang dibuatnya khas untuk pengantin itu.
“Alhamdulillah. Semuanya sempat disudahkan.” Umairah kesyukuran. Pandangan matanya yang meninjau-ninjau keadaan sekeliling dewan akhirnya terhenti pada satu pandangan yang turut memandangnya ketika itu.
‘Saifuddin!’ Umairah berkata dalam hatinya apabila mendapati Saifuddin masih lagi pegun memerhatikannya. Umairah terasa bahang pada mukanya kini. Umairah nampak Saifuddin mula menapak ke arahnya. Demi melihatkan tindakan Saifuddin itu, Umairah pantas berpaling untuk beredar daripada tempat itu. Tindakannya pantasnya itu menyebabkannya hampir bertembung dengan Nizam yang datang menghampirinya ketika itu.
“Nasib baik tak tercium. Kalau tak, mesti angau saya jadinya.” Nizam tersenyummengusik.
Sorry, saya tak perasankan awak kat belakang saya.” Umairah meminta maaf dan menjarakkan dirinya sedikit daripada Nizam.
“Apa yang awak tengok tadi?” Nizam bertanya sambil meninjau-ninjau keadaan dalam dewan itu. Umairah turut sama memandang ke arah dalam dewan. Dia terkejut apabila mendapati Saifuddin sudah tiada di dalam dewan tersebut.
‘Tak kan aku berangan tadi? Tapi kalau tak berangan,mana perginya Saifuddin?’ Umairah monolog sendirian. Dia buntu dengan keadaan itu.
“Mesti awak impikan nak ada majlis perkahwinan macam ni, kan? Kalau awak sudi jadi isteri saya lebih daripada ni pun saya sanggup lakukan untuk awak.” Kata-kata berani Nizam itu menyedarkan Umairah ke alam realiti.
“Tak de maknanya saya teringinkan majlis macam ni. Saya suka yang sederhana. Saya Cuma tengok hidangan semua tu. Kot ada yang tak kena ker apa ker. Kot kek saya tu senget ker apa ker. Itu jer.” Umairah tegas bersuara. Dia tidak suka mendengar kata-kata Nizam sebentar tadi.
“Ha! Satu lagi, saya harap awak tak cakap yang bukan-bukan macam tu lagi. Saya tak suka. Kalau orang dengar dan salah faham, macam mana? Habis satu hotel bergosip pasal hal tu.” Umairah memberanikan dirinya menegur lepas laku Nizam itu.
“Lagi bagus macam tu! Nanti tak de la yang nak mengorat awak. Tak macam tu?” Nizam tersenyum manis. Senyuman yang menyakitkan mata Umairah ketika itu.
‘Astaghfirullah halazim!’ Umairah tersedar yang dia sudah terlanjur laku. Dia sudah termakan hasutan syaitan sehingga dia terasa sakit hati terhadap pandangan Nizam itu. Dia mula sedar dia tidak seharusnya membenci insan yang turut sama dijadikan oleh Allah.
“Malas saya nak layan loyar awak ni, Nizam. Baik saya masuk dalam buat hidangan petang ni, lagi berfaedah.” Umairah mengambil keputusan untuk beredar.
“Awak tak menyangkalkannya maknanya awak memang harap semua tu berlaku, kan? Mengharap kita pasangan yang menjadi bualan orang!” Nizam meninggikan sedikit suaranya agar Umairah yang semakin menjauhinya mendengar kata-katanya itu. Umairah memberhentikan langkahnya.
‘Mamat jambu ni memang la, kan. Sabar Umairah! Sabar! Bertenang bukan bertendang.’ Umairah berkata pada dirinya sendiri. Umairah cuba menenangkan hatinya seketika tatkala mendengar usikan Nizam itu. Dia mengambil nafaz dalam-dalam sebelum menyangkal.
“Tak de maknanya saya nak itu berlaku. Awak jangan nak pandai-pandai buat andaian sendiri, okey.” Umairah menyangkalkannya dengan tegas. Nizam hanya ketawa kecil melihatkan muka kemerahan Umairah itu.
“Comel betul muka awak kalau marah. Pipi merah macam anak patung.” Nizam masih lagi mengusiknya.
“Ada-ada jer awak ni, kan. Malas saya nak melayan awak lagi.” Umairah meneruskan kembali langkah kakinya dengan melemparkan muka masam mencukanya itu.

******************************************

            Saifuddin mengeluh panjang di dalam bilik air itu. Dia yang pada mulanya ingin menghampiri dan bertegur sapa dengan Umairah setelah terpandangkan wajah manis itu akhirnya terpaksa bersembunyi di balik dinding itu apabila mendapati Nizam menghampiri dan berbual dengan Umairah.
‘Kenapa mamat tu selalu sangat ada dengan dia? Mereka memang ada hubungan istimewa ker?’ Saifuddin tertanya-tanya dengan dirinya sendiri setelah dia membasuh mukanya dengan air.
‘Kenapalah aku nak sakit hati sangat bila lihat minah kalut tu berbual dengan laki lain? Dia bukannya sesiapa pada aku pun. Din tolong kawal diri. Tolong sedar diri sikit. Dia wanita yang baik jadi pastinya dia buat laki yang jauh lebih baik dan hebat daripada kau. Kau pernah cuba untuk mencabul kehormatan dirinya. Jadi kofikir ko layak untuknya?’ Saifuddin monolog sendirian.
Dia kesal dengan dirinya yang kalah dengan perasaan yang satu itu. Dia cuba mengingatkan dirinya berkali-kali agar tidak mempunyai apa-apa perasaan  terhadap Umairah. Umairah bukan miliknya. Saifuddin memandang cermin di hadapannya itu dan mula mengemaskan dirinya semula. Setelah memastikan dirinya kemas, dia menapak keluar daripada bilik air itu. Dia harus kembali semula ke dewan tadi untuk memantau segala persiapan yang telah disediakan untuk majlis perkahwinan itu nanti.
Dia dapat melihat Nizam masih lagi berada bersama Umairah sewaktu dia semakin menghampiri dewan itu. Masih berbual mesra. Dia cuba untuk tidak melihat kemesraan mereka agar hatinya tidak terasa lagi. Namun semua usahanya sia-sia. Walaupun dia mampu untuk mengelakkan matanya daripada melihat adengan itu, telinganya yang bukan seperti yang tidak mampu ditutupnya ketika itu, masih terus-terusan mendengar perbualan mereka itu.
“Malas saya nak layan loyar awak ni, Nizam. Baik saya masuk dalam buat hidangan petang ni, lagi berfaedah.” Umairah mengambil keputusan untuk beredar.
“Awak tak menyangkalkannya maknanya awak memang harap semua tu berlaku, kan? Mengharap kita pasangan yang menjadi bualan orang! ” Saifuddin nyata tersentak dengan kata-kata yang didengarinya itu. Dia terkaku sebentar. Walaupun dia mampu melihat tingkah laku Nizam dan Umairah yang berada sedikit jauh di hadapannya namun keadaan hanya sunyi sesunyinya. Seolah-olah dia telah tuli.
‘Betulkah apa yang aku dengar ni? Itu yang sebenarnya yang terjadi antara mereka.’ Saifuddin berkata-kata pada dirinya sendiri. Dia benar-benar kaku dengan bicara yang didengarinya itu. Sentuhan seseorang telah menyedarkannya dan mengembalikannya semula ke alam nyata dan pendengarannya kembali seperti sedia kala.
“Din tak apa-apa ker? Uncle tegur pun tak berjawab.” Rafie, pakciknya yang menyentuh bahunya bertanya inginkan kepastian.
“Ye ker? Sorry, Din terfikirkan sesuatu tadi.” Saifuddin cuba mencipta alasan.
“Apa lagi yang difikirkan tu? Dah jom masuk tengok persiapan yang dah disediakan ni. Periksa mana-mana yang tak kena.” Rafie menyarankan. Saifuddin menurut. Namun sekali lagi hatinya terguris mendengar usikan manja Nizam terhadap Umairah.
“Comel betul muka awak kalau marah. Pipi merah macam anak patung. ”
            Dia tahu Nizam benar-benar memaksudkan apa yang diperkatakannya itu. Dia juga pernah melihat wajah comel Umairah itu satu ketika dahulu. Waktu dia menemu duga Umairah untuk jawatan Pembantu Cef dahulu.
            Kini Saifuddin pasti, dia hanya mampu untuk memandang wajah manis milik Umairah itu. Ternyata Nizam sudah berjaya memiliki bukan sahaja wajah manis itu tetapi juga hati si gadis yang menjadi idaman setiap jejaka. Namun Saifuddin tetap bersyukur dia akhirnya mengetahui perkara itu sebelum segalanya terlambat atau sebelum hatinya betul-betul sudah dipenuhi dengan cintanya kepada wanita itu.

********************************************

“Alhamdulillah, Ya Allah. Aku bersyukur dengan petunjuk yang telah Engkau berikan kepada diriku ini. Aku tahu pasti ada hikmah disebalik apa yang telah Engkau rancangkan ini. Perancangan Engkau adalah yang terbaik buat kami semua.”
“Maafkan aku, Ya Rabb. Aku hamba-Mu yang selalu membuat kesalahan dan memurkakan-Mu. Maafkanku kerana aku asyik mencari cinta seorang gadis bernama Umairah dan mendambarkan cintanya melebihi diri-Mu.”
“Terima kasih, Ya Rahman. Kau limpahkan kasih  sayang-Mu kepadaku dan menjaga hatiku agar hatiku tidak lebih terluka daripada apa yang aku rasakan ini. Mungkin kesakitannya lebih lagi kalau aku mengetahui perkara lebih lewat daripada sekarang. Sekurang-kurangnya buat masa ni cintaku kepadanya tidak sedalam mana. Terima kasih kerana Kau lindungi aku daripada merasai kesakitan cinta yang ditolak seperti mana yang pernah dirasai oleh Abang Haq.”
“Aku berharap Engkau lindungilah dan berilah ketabahan dan keredhaan yang lebih lagi kepada Abang Haq apabila kebenaran ini tiba kepada pengetahuannya. Aku tahu dia lebih dekat dan lebih mencintai Umairah daripadaku sendiri.”
“Sesungguhnya Kau Maha Mengetahui, Maha Penyembuh dan Maha Berkuasa ke atas kami, hamba-hamba-Mu yang kerdil ini. Amin.” Saifuddin tenang dalam meluahkan perasaan hatinya kepada Yang Esa selepas solat Zohor itu. Dia dapat merasai dirinya kembali seperti dulu. Kembali kepada dirinya sebelum dia bertemu dengan Umairah dan menjawat jawatan baru ini. Saifuddin masih berada dalam bilik solat pejabatnya.
‘Kenapa hati aku masih rasa pedih lagi ni? Kan aku dah redha dan terima segala yang berlaku ini. Jadi kenapa rasa sakit ni masih lagi belum berkurangan?’ saifuddin berkata dengan dirinya sendiri.
“Ya Allah, Kau sembuhkanlah hatiku ini. Kau kurangkanlah rasa kesakitan ini. Kau kuatkanlah hatiku terima kesan luka ini.” Saifuddin berharap dengan sepenuh hatinya. Kepala yang sakit dipicit perlahan agar berkurangan rasa sakitnya. Dia mula membaringkan dirinya di atas sejadah dan tanpa disedarinya dia sudah tertidur.
            Saiful Haq dan Nurul pantas memasuki bilik pejabat Saifuddin setelah panggilan telefon tidak berjawab. Malah ketukan dan sahutan berkali-kali mereka di hadapan pintu turut tidak berbalas. Melihatkan bilik itu kosong, Saiful Haq segera ke arah bilik solat.
“Alhamdulillah. Tertidur rupanya budak ni. Ingatkan kenapalah tadi.” Saiful Haq kelegaan.
“Nak saya kejutkan, Encik Haq?” Nurul bertanya dengan nada kelegaan. Dia turut sama risau melihatkan keadaan Saifuddin sejak kembali daripada dewan tadi.
“Tak pe la. Biar dia tidur sekejap. Mungkin dia letih sangat tu. Banyak sangat kerja akhir-akhir ni. Kita keluar dulu. Ada perkara saya nak bincangkan dengan awak sikit.” Saiful Haq menjelaskan.
“Hal apa tu, Encik Haq? Macam penting jer bunyinya.” Nurul tersenyum.
“A’ah penting juga. Saya ingat nak rombak sikit rancangan dan temu janji Saifuddin. Saya ingat nak bagi dia bercuti beberapa hari. Biar dia berehat dan menikmati percutian yang menyenangkan.” Saiful Haq bersemangat.
“Baguslah tu, Encik Haq. Saya tengok Encik Saifuddin memang perlukan rehat. Dia lebih banyak masa bekerja daripada berehat kebelakangan ni.” Nurul teruja.
“Amboi! Bukan main suka lagi ye. Ye la, bos cuti awak pun dapatlah rehat sikit, kan.” Saiful Haq mengusik.
“Sampai hati Encik Haq cakap macam tu. Tak terfikir pun saya macam tu. Kalau Encik Haq nak saya boleh jadi setiausaha encik sepanjang Encik Saifuddin tiada nanti. Saya ni bukan pekerja yang suka curi tulang dan makan gaji buta, tau.” Nurul buat-buat merajuk. Sengaja mahu bermain perasaan dengan Saiful Haq.
“La....merajuk pulak ker? Saya mengusik jer tadi. Maaf buat awak terasa.” Saiful Haq serius meminta maaf apabila melihatkan wajah muram Nurul.
“Saya tahu encik mengusik. Saya pun saja nak mengusik Encik Haq tadi.” Nurul tersenyum manis.
“Amboi! Kenakan saya pulak. Ni nak kena hukuman ni. Disebabkan awak nak sangat jadi setiausaha saya tadi, maka saya nak awak jadi setiausaha saya sepanjang Saifuddin bercuti nanti. Biar saya ajar awak sikit.” Saiful Haq tersenyum manis.
“Saya tak kisah pun. Bukannya saya tak pernah jadi setiausaha encik. Jangan ingat saya akan takut dengan ancaman encik tu. Nanti kita tengok sape yang ajar sape.” Nurul masih dengan usikannya. Dia sudah terbiasa berbicara santai seperti itu dengan Saiful Haq. Mungkin kerana sikap rendah diri Saiful Haq selama ini terhadap semua pekerjanya. Jadi setiap pekerja merasakan Saiful Haq seperti rakan sahaja.
“Makin berani awak sekarang ni ye, Nurul. Bagus!  Saya suka sikap awak yang baru ni.” Saiful Haq memujinya. Nurul terasa malu dengan pujian itu. Memerah pipinya mendengarkannya.
“Saya keluar ambil organizer dulu.” Nurul pantas berlalu. Saiful Haq perasan dengan pipi Nurul yang kemerahan itu. Dia tidak berkata apa-apa atau mengusik gadis itu lagi. Tidak mahu timbulkan salah faham antara mereka.





2 comments:

Unknown said...

Salam.... Maaf lewat post...
Untuk perhatian semua sekali lagi...
cerita saya berdasarkan bahasa kampung perak jadi perbualannya banyak berbunyi singkatan dan sedikit berbeza daripada bahasa baku... harap semua maklum....

hamba yang lemah...
hanilin

Anonymous said...

Salam hanilin....
Oleh sbb jala cerita yang menarik saya tidak perasan pun perkataan @ berbunyi singkatan tu...
Next cpter plz