Cinta Si Ketam
“S
|
aya tak kisah pun. Bukannya saya tak pernah
jadi setiausaha encik. Jangan ingat saya akan takut dengan ancaman encik
tu." Nurul masih dengan usikannya. Dia sudah terbiasa berbicara santai
seperti itu dengan Saiful Haq. Mungkin kerana sikap rendah diri Saiful Haq
selama ini terhadap semua pekerjanya. Jadi setiap pekerja merasakan Saiful Haq
seperti rakan sahaja.
“Makin berani awak sekarang ni ye, Nurul.
Bagus! Saya suka sikap awak yang baru
ni.” Saiful Haq memujinya. Nurul terasa malu dengan pujian itu. Merah pipinya
mendengarkannya.
“Saya keluar ambil organizer dulu.” Nurul pantas berlalu. Saiful Haq perasan dengan
pipi Nurul yang kemerahan itu. Dia tidak berkata apa-apa atau mengusik gadis
itu lagi. Tidak mahu timbulkan salah faham antara mereka.
Seketika
kemudian Nurul kembali bersama senaskah buku perancangan tahunan yang
mengandungi segala aktivi dan temu janji Saifuddin. Nurul duduk di kerusi yang
bertentangan daripada Saiful Haq. Saiful Haq memerhatikan setiap gerak-geri
sopan Nurul itu. Gadis yang berkulit putih, manis walaupun memiliki sedikit
jerawat di mukanya, sopan bertudung dan murah dengan senyuman. Ramah dan cekap
menjalankan tugas yang diberikan. Salah seorang gadis yang akan ada dalam
senarai gadis idaman lelaki pada pandangan Saiful Haq.
“Okey, Encik Haq. Ni senarai aktiviti dan temu
janji Encik Saifuddin. Mungkin Encik Haq nak tengok-tengok dulu sebelum buat
rancang encik tu.” Nurul terus sahaja berbicara seperti biasa sebaik dia
melabuhkan punggungnya pada sofa yang terdapat dalam bilik Saifuddin itu.
“Okey, thanks.”
Saiful Haq segera membalas dan mengambil buku yang diunjurkan kepadanya itu.
Setelah membelek-belek aktiviti beberapa minggu akan datang dan mendapati akan
tarikh-tarikh yang sesuai, maka Saiful Haq pun berbincang dengan Nurul akan
rombakan yang dimaksudkannya tadi. Nurul mendengar dengan teliti dan memberikan
beberapa pandangan kepadanya.
“Boleh ker kita buat macam ni, encik? Encik
Saifuddin tak marah ker nanti?” Nurul mula sangsi dengan rancangan yang telah
dirombak tadi.
“Awak takut Saifuddin memarahi awak ker? Awak
jangan risau, kalau dia tanya, awak cakaplah saya yang rombak semuanya.
Insya-Allah dia tak kan marahkan perkara yang kecil macam ni. Lagi elok awak
jangan maklumkan awal-awal kepadanya. Kita buat surprise lagi best, kot.
Apa kata awak?” Saiful Haq teruja bertanya.
“Okey juga tu. Kalau macam tu, kalau Encik
Saifuddin marahkan saya nanti pun, saya tak nampak sebab Encik Saifuddin dah
ada kat sana. Bagus betul idea encik ni. Tak sangka saya begitu akrab sekali
hubungan encik dengan Encik Saifuddin sampai encik terfikirkan perkara ni
semua.” Nurul tersenyum manis. Saiful Haq membalas senyuman manis itu dengan
senyuman manis juga.
“Kalau dah tak de apa lagi, saya keluar
dululah encik. Saya nak hubungi semua untuk memberitahu perubahan ini semua.
Harap semuanya berjalan lancar.” Nurul bertanya.
“Harapnya macam tu la. Awak boleh teruskan
kerja awak. Saya nak kejutkan Saifuddin sekejap.” Saiful Haq membenarkan. Nurul
terus berlalu keluar.
“Ada apa dengan Nurul tadi?” Saifuddin
bertanya. Saiful Haq pantas berpaling kepada Saifuddin.
“Baru ingat nak kejutkan ko. Puas tidur?”
Saiful Haq bersuara.
“Sorry.
Tertidur lak tadi. Kenapa tak kejutkan tadi?”
“Aku tengok ko macam penat sangat, tu yang aku
tak kejutkan. Kalau macam tu aku balik bilik aku dululah.”
“Nak balik dah. Abis tu kenapa datang tadi?
Ada hal apa yang nak dibincangkan?” Saifuddin keliru.
“Tak de apa. Saja nak tengok-tengok adik aku
yang sorang ni.” Saiful Haq tersenyum sambil menumbuk perlahan dada Saifuddin
yang tegap itu.
“Okey la, aku gerak dulu.”
“Bro,
terima kasih.” Saifuddin tersenyum. Dia berterima kasih kerana mempunyai
seorang abang yang sentiasa memahaminya. Saiful Haq membalas senyuman Saifuddin
sebelum berlalu keluar.
************************************************
Umairah yang sudah selesai menyediakan juadah
makan petang bagi penginap di hotel itu terkejut dengan bunyi riuh yang datang
di hadapan pintu masuk dapur itu. Dia segera membasuh tangannya sebelum berlalu
pergi ke arah keriuhan itu.
“Awak ni saja nak malukan saya ker? Sebab
tindakan awak tu, ada ahli keluarga pengantin yang tidak puas hati dengan
hidangan hari ni.” Maria tegas bersuara. Staf-staf memasak yang ada ketika itu semuanya
telah berada di hadapan pintu itu melihat adegan sebabak tersebut.
“Apa yang lainnya? Saya gunakan resepi yang
sama dengan hidangan semasa food testing
tu.” Cef Fiq tenang menjelaskan.
“Hari ni awak yang sediakan semua masakan itu,
kan. Kalau dari hari tu awak yang menyediakan semua ni dari awal, mungkin tiada
komplen macam ni akan timbul.” Maria masih mahu bertegang urat. Beberapa orang
pekerja mula bersuara-suara memperkatakan perilaku Cef Fiq dan Maria. Umairah
turut simpati dengan Cef Fiq. Dia tidak mahu campur tangan kerana tidak mahu
mengeruhkan lagi keadaan.
“Maaflah kalau sebab tu yang boleh menyebabkan
rasanya tak sama. Kalau awak masih tidak puas hati dengan permohonan maaf saya,
awak boleh failkan komplen awak kepada pihak atasan. Kalau tak de apa-apa lagi,
saya masuk ke dalam dulu. Masih ada kerja saya yang belum siap.” Cef Fiq
berlalu pergi dan membiarkan Maria sendirian. Pekerja-pekerja yang lain turut
masuk ke dalam mengikuti jejak Cef Fiq.
“Ye, saya memang akan komplenkan hal ni kepada
pihak atasan. Awak tunggu sahajalah nasib awak nanti.” Maria seperti kerasukan.
Umairah kehairanan dengan perubahan perangai Maria itu. Tidak sama dengan
perangainya tempoh hari. Umairah turut rasa bersalah dengan apa yang terjadi.
Dia rasa tidak senang duduk bila memikirkan perkara itu. Dia mula menghampiri
Cef Fiq.
“Cef, maafkan saya kalau sebab saya cef dapat susah
macam ni. Sebab saya cef akan mendapat tindakan pihak atasan.” Umairah tenang
bersuara.
“Bukan salah awak, Umairah. Saya yang minta
bantuan awak tempoh hari. Awak jangan risau akan hal ni, pihak atasan dah
maklum akan masalah ni daripada hari tu lagi. Insya-Allah, tiada apa yang akan
berlaku pun.” Cef Fiq menjelaskan sebaik mungkin.
“Baguslah kalau macam tu. Harap semuanya
lancar.” Umairah kelegaan.
“Dah sambung kerja awak. Bersembang macam ni
kalau tertangkap dengan pihak atasan memang tak dapat saya nak tolong.” Cef Fiq
mengusiknya.
“Baik bos.” Umairah sengaja membuat tabik
hormat. Cef Fiq turut tersenyum dengan usikan Umairah itu. Dia kembali semula
ke dapurnya untuk mengemaskan dapur yang digunakannya tadi. Selesai mengemaskan
dapur dia mendapatkan Nizam yang masih mencuci perkakasan di sinki.
“Nizam, saya dah sudah kemas. Saya pulang
dulu, ye.” Umairah memaklumkan kepada Nizam.
“Oh! Okey. Hati-hati. Kalau awak sanggup
tunggu saya, saya boleh hantarkan awak pulang.” Nizam masih tidak putus asa
dengan hasratnya untuk menghantarkan Umairah pulang.
“Tak pe la. Awak pun tahu saya tak mahu
menyusahkan awak. Bas banyak, saya boleh naik bas jer. Bukannya tak biasa.”
Umairah menolak dengan sopan perlawaan Nizam itu.
“Okey. Susah juga nak tahu istana Tuap Puteri
ni, kan. Entah bila agaknya saya dapat peluang tu.” Nizam tersenyum mengoda.
Umairah yang tidak mahu mengulas lanjut perkara itu hanya tersenyum.
Umairah
terkejut mendengar pertengkaran kecil antara Cef Fiq dan Maria di tempat letak
kereta itu. Dia yang akan menggunakan laluan di tempat letak kereta itu setiap
kali dia hendak ke perhentian bas yang berada di seberang tempat letak kereta
itu.
“Apa lagi yang awak tak puas hati ngan saya
ni, Cik Maria? Tadi awak kata nak laporkan perkara tu kepada pihak atasan, kan?
Jadi silakan. Tapi satu saya nak ingatkan awak. Awak ingat pihak atasan akan
terima bulat-bulat perkara ni ker? Alasan yang awak katakan tadi tak munasabah
langsung. Kami memasak berdasarkan resepi. Memang tidak dinafikan, air tangan
seseorang tidak sama tapi pada dasarnya ianya tetap akan mempunyai rasa yang
hampir sama kecuali bahan atau jenama yang digunakan berlainan daripada masakan
tempoh hari.” Cef Fiq serius bersuara.
“Ye, saya memang tidak puas hati dengan awak. Selagi
awak ada di depan mata saya, selagi itu rasa itu tak kan pudar daripada hati
saya.” Maria lantang bersuara.
“Abis tu, awak nak saya pergi jauh dari sini.
Baiklah kalau itu yang awak mahu, saya akan cuba tunaikan secepat mungkin.” Cef
Fiq sayu.
“Bagus! Lagi cepat lagi bagus.” Maria tegang.
“Maria, saya tak sangka awak berubah sampai
macam ni sekali. Saya rindukan kemesraan kita sebagai sahabat seperti
dulu-dulu. Hanya sebab saya tolak cinta awak, awak terus jadi macam ni. Kenapa
awak nak seksa diri awak sampai macam ni sekali? Cinta itu tidak boleh
dipaksa-paksa. Awak pun tahu itu.”
“Seksa diri, awak cakap. Saya bukan nak seksa
diri saya, tapi saya nak awak malu. Merasa malu seperti mana yang saya rasa.
Sehingga kini rasa tu tetap ada dan seolah-olah semua masih memperkatakan perkara
itu.” Maria serius. Matanya mula memerah.
“Dah la. Saya dah lewat ni. Anak saya dah
tunggu saya ni. Saya pergi dulu.” Cef Fiq berlalu ke arah keretanya dan berlalu
pergi dengan pantasnya. Mata Maria masih memandang ke arah kereta Cef Fiq yang
sudah di kejauhan. Umairah meneruskan langkah kakinya yang tergendala sebentar
tadi walaupun dia merasa simpati dengan Maria.
Seketika kemudian Maria mula bergerak untuk
menghampiri keretanya namun dek kerana dia menyeberangi jalan tanpa memandang
terlebih dahulu ke arah kiri dan kanan, dia hampir sahaja dilanggar oleh sebuah
kereta yang kebetulan melalui jalan tersebut. Umairah yang menyedari keadaan
itu segera berlari ke arah Maria dan sempat menariknya ke tepi. Mujur dia
sempat, dia kemudian mengangkat tangan kanannya sebagai simbol memohon maaf
kepada pemandu yang juga berjaya memberhentikan keretanya daripada terus
melanggar Maria. Umairah dapat melihat pemandu tersebut hanya menggelengkan
kepala dengan situasi itu sebelum terus berlalu pergi.
Sebaik kereta itu berlalu pergi, Umairah
dikejutkan dengan tepisan kasar tangannya yang memaut bahu Maria tadi.
“Lepaslah. Aku tak perlukan pertolongan kau.
Aku bukannya lemah.” Maria tegas bersuara.
“Saya bukan tolong sebab fikir Cik Maria lemah
tetapi saya lihat macam Cik Maria kaku tak mahu bergerak. Maaflah kalau
pertolongan saya mengguris hati Cik Maria.” Umairah cuba berlembut kerana tidak
mahu menambahkan kepiluan hati Maria.
“Sudahlah. Aku bukan tak tahu, kamu pun sama
macam pekerja Fiq yang lain. Suka memerli dan mengata aku. Teruskan sahaja niat
korang tu semua. Telinga aku dah lali dengan cemuhan dan cacian korang tu.” Maria masih menyinga.
“Maaf kalau Cik Maria rasa macam tu dengan
saya tapi saya ni bukan mudah untuk percaya cete orang lain melainkan saya mendengar
sendiri daripada empunya diri. Tapi daripada apa yang saya dengar tadi, apa
yang Cef Fiq katakan itu ada benarnya. Cik Maria yang menyeksa dan memalukan
diri cik sendiri. Cinta itu datangnya daripada Allah. Mohon pada-Nya agar
melahirkan rasa cinta itu dalam diri Cef Fiq bukannya dengan melakukan semua
perkara tak berfaedah ni. Allah itu Maha Mendengar dan Maha Pemurah. Insya-Allah
jika ianya baik untuk Cik Maria, satu hari nanti cinta itu akan datang sendiri
kepada cik. Yang penting jangan putus-putus memohon pada-Nya dan semaikan dulu
cinta yang utama pada-Nya.” Umairah cuba menyedarkan Maria.
“Maaflah kalau bebelan saya ni menguris hati
cik. Saya cuma ingin mengingatkan cik akan adanya Dia Yang Maha Esa yang selalu
bersedia mendengar apa sahaja permintaan dan keluh kesah kita.” Umairah mula
mengorak langkah sebaik selesai menyatakannya. Namun kakinya terhenti tatkala
mendengar esakan kecil Maria. Dia berpaling semula memandang Maria. Maria kini
sudah terduduk di atas lantai tempat letak kereta tersebut. Tumpah lagi
simpatinya melihat wanita yang dalam kesedihan sebegitu. Wanita yang sentiasa
lemah dengan ujian daripada-Nya sebelum menemui kekuatan mengharunginya.
Esakan mula bertukar kepada tangisan yang
semakin melebat. Umairah mendekati Maria untuk memberikannya sokongan dan
dakapan agar Maria menghemburkan segala bebanan itu. Sebaik Umairah menghampiri
dan duduk sama rendah dengan Maria, Maria mula memeluknya dan menangis
semahunya dibahu Umairah. Umairah membalas pelukan itu dan mengusap lembut
kepala Maria yang bertudung itu. Tudung chiffon berlapis tiga yang pastinya
mahal harganya, setahu Umairah.
“Cik Maria, apa kata kita kembali ke kereta
cik dulu. Tak berapa manis rasanya cik menangis kat sini. Nanti ada mulut yang
bawa cete pula.” Umairah cuba menyedarkan situasi mereka ketika itu. Maria yang
tersedar mula mengelap air matanya dengan hujung jari dan pantas berdiri.
Umairah memimpinnya beredar ke arah keretanya. Setelah membantu Maria duduk di
kerusi pemandu, Umairah kembali bersuara.
“Macam mana, nak sambung menangis? Kalau nak,
saya boleh pinjamkan bahu saya lagi.” Usikan Umairah itu berjaya menggeletek
hati Maria dan membuatnya tersenyum, geli hati.
“Terima kasih. Cik Umairah, kan?” Maria
inginkan kepastian.
“Ha! Kan manis dan cantik kalau senyum macam
tu. Nah, lap lagi air mata yang masih bersisa tu.” Umairah tersenyum sambil
menghulurkan beberapa helai tisu poket yang sentiasa ada dalam beg tangannya
itu. Maria mengambilnya dan menyapu kawasan matanya itu.
“Cik Maria dah okey, kan? Kalau macam tu saya
minta diri dululah ye. Nanti terlepas pula bas saya.” Umairah kembali bersuara.
“Cik Umairah tinggal di mana? Boleh saya hantarkan.”
“Tak payah bercik-cik. Panggil Umairah sahaja.
Tak pe saya boleh naik bas.”
“Maafkan kelakuan saya tadi. Mungkin sebab tu
Umairah tak sudi nak tumpang saya.” Maria sayu.
“Eh! Bukan macam tu. Saya tak nak menyusahkan
Cik Maria. Lagipun mungkin tak sehaluan dengan jalan yang Cik Maria nak ambik.”
Umairah serba-salah.
“Kalau tak sehaluan pun tak pe. Saya akan
hantarkan sebagai tanda mohon maaf saya dengan Umairah.”
“Tak perlu sampai macam tu. Saya faham keadaan
Cik Maria tadi. Saya tak ambik kisah pun.”
“So,
tinggal kat mana?” Maria masih ingin mengetahuinya.
“Taman Sejati Tiga.” Umairah memberitahu juga
kerana tidak mahu memanjangkan perkara itu.
“Satu jalan dengan pejabat saya jer pun. Jom
saya hantarkan.” Maria berkeras untuk menghantarkannya. Umairah hanya menurut
setelah melihat kesungguhan Maria itu.
Setelah
kereta tersebut bergerak beberapa minit, Maria kembali bertanya.
“Dah lama ker kerja kat sana?”
“Tak juga. Baru beberapa bulan sahaja.”
“Oh! Ingatkan dah lama. So, macam mana kerja dengan Fiq, maksud saya Cef Fiq?” Maria
berbasi-basi.
“Alhamdulillah semuanya bagus. Cef Fiq senang
memberi tunjuk ajar dan ringan tulang membantu kami. Seorang ketua yang
berkaliber dan beriman.” Umairah memuji.
“Beriman?”
“Ye la, setiap hari sebelum memulakan kerja
kami akan berkumpul dan Cef Fiq akan membacakan beberapa doa sebelum memberi
taklimat dan tugasan kepada kami. Dia juga tidak melewatkan solatnya malah
selalu juga mengimamkan kami bersolat.”
“Oh! Macam tu. Jadi perkara itu bukan sekadar
khabar anginlah. Ingatkan peminatnya sengaja menokok-nambah perkara itu untuk
menaikkan lagi sahamnya.” Maria tersenyum kecil. Umairah turut sama senyum
kerana tidak mahu mengulas perihal itu.
“Kalau saya nak tanya sesuatu boleh?”
“Nak tanya apa?”
“Umairah ni pun peminat Cef Fiq ker?”
“Ye, kalau Cik Maria maksudkan berkaitan
dengan kerjanya tetapi kalau Cik Maria maksudkan akan dirinya , jawapan saya
tidak.”
“Oh! Ye ker. Abis tu, Umairah minat siapa?”
Maria menduga.
“Entahlah. Saya ni mana layak nak minat
sesiapa.” Umairah tenang menjawab.
“Encik Saifuddin dan Encik Haq pun tak?
Biasanya kebanyakan staf wanita hotel tu rata-rata akan kata mereka kagum dan
meminati mereka bertiga ni.” Umairah terkesima tak kala nama Saifuddin disebut.
Dia hanya mampu tersenyum tawar dengan kata-kata Maria. Kelu lidahnya untuk
membalas. Seketika masing-masing hanya mendiamkan diri.
“Umairah, awak rasa..... Fiq....Cef Fiq ada
minat kat sesiapa tak?” Maria tersekat-sekat untuk bertanya. Umairah tidak
menyangka Maria berani bertanya perkara itu dengan dirinya. Dia hanya
memerhatikan wajah Maria yang sedikit kemerahan.
“Kalau awak keberatan nak bagitahu tak pe la.
Saya faham. Mungkin awak tiak mahu masuk campur hal peribadi orang. Maaf. Saya
tak mampu nak kawal diri saya daripada bertanya soalan ni. Awak abaikan sahaja
pertanyaan saya tu.” Maria kembali bersuara.
“Emmmm.... Macam mana nak cakap ye. Saya sebenarnya
faham perasaan Cik Maria tapi saya takut juga nak kata apa-apa takut salah
maklumat. Saya juga yang berdosa. Apa yang boleh saya katakan ialah saya tak
pernah nampak atau dengar dia menghubungi sesiapa selain anaknya. Ada atau
tidak dia minat sesiapa, saya tak tahu. Kalau Cik Maria nak tahu, saya boleh
tolong tanyakan.” Umairah cuba menenangkan hati Maria dengan jawapan itu.
“Eh! Tak pe, tak pe. Saya tak mahu menyusahkan
Umairah. Fiq pernah bagitahu saya dahulu yang dia memang tidak mempunyai
apa-apa hubungan dengan sesiapa pun sebab dia mahu menumpukan perhatian
terhadap anaknya selain belum bersedia untuk menjalinkan hubungan dengan wanita
lain. Saya sahaja yang masih tidak mahu mempercayai kata-katanya.” Maria
tersenyum tawar. Umairah faham kata-kata Maria itu.
“Orang yang beriman tidak betah berbohong, Cik
Maria. Cik Maria kena yakin dengan Cef Fiq. Saya rasa Cik Maria pun tahu sebuah
hubungan itu terjadi dengan adanya keyakinan di antara satu sama lain.”
“Saya rasa seperti Umairah yang lebih
mengenali Cef Fiq berbanding saya. Kalau Umairah nak tahu, saya sudah kenal
dengannya sejak di bangku sekolah lagi. Tapi tengoklah saya, saya kalah dengan
awak dalam hal ni. Awak lebih matang daripada saya.”
“Mungkin dia cinta pandang pertama Cik Maria
dan mungkin juga hanya Cef Fiq yang Cik Maria cintai selama ini. Sebab tu Cik
Maria berperasaan macam tu. Maaflah kalau saya salah tetapi pada pandangan saya
cinta ni macam kehidupan kita juga. Kita tidak akan matang kalau kita tidak
merasai perit getir sebuah kehidupan dan mengalami perubahan dalam kehidupan
seharian kita. Mungkin kerana Cik Maria hanya mencintai Cef Fiq, Cik Maria
tidak merasai perit getir sebuah percintaan terhadap insan. Saya bukanlah
seorang pakar cinta tetapi perubahan yang saya ambil turut mematangkan saya dan
cinta saya. Mungkin Cik Maria juga boleh membuat perkara yang sama. Cuba
berubah dan berganjak daripada berdiri pada takuk yang sama. Bukanlah mengubah
cinta Cik Maria kepada orang lain tetapi cuba tingkatkan lagi cinta Cik Maria
kepada Allah terlebih dahulu dan saya yakin, Insya-Allah nanti Cik Maria akan
merasai perubahan dan kematangan itu.”
“Insya-Allah, saya akan cuba. Terima kasih
kerana sudi mengingatkan saya. Apa yang Umairah katakan itu mungkin ada
benarnya. Mungkin cinta saya pada-Nya belum cukup dalam dan hanya sambil lewa
sahaja. Sebab tu Allah uji saya sebegini.” Maria mengaku akan kekurangan
dirinya. Umairah bersimpati dengan Maria. Dia tidak mampu mengelakkan dirinya
daripada perasaan ingin membantunya.
“Kalau Cik Maria tak kisah, boleh saya berikan
satu cadangan?” Umairah tiba-tiba terfikirkan cara untuk membantu Cik Maria.
“Cadangan? Pe dia?” Maria curiga untuk
mengetahui.
“Tadi Cik Maria ada menyatakan yang Cef Fiq
tidak mahu menjalinkan sebarang hubungan lagi sebab belum bersedia selain ingin
menumpukan perhatian terhadap anaknya, kan. Pe kata Cik Maria cuba memikat
anaknya terlebih dahulu. Mungkin bila anaknya sudah sayang dengan Cik Maria,
sayangnya pada Cik Maria pun akan berputik. Tapi ni hanya cadangan jangan pula
Cik Maria menaruh sebarang harapan sebab seperti kata saya tadi cinta itu
datangnya daripada Allah. Kita manusia hanya mampu berusaha dan berdoa semuanya
berjalan seperti mana yang diharapkan.” Umairah tersenyum.
“Saya akan cuba tapi Laila, anaknya Fiq,
bukannya tidak kenal saya. Dahulu selalu juga saya berjumpanya. Saya tak rasa
ianya akan berjalan dengan lancar.” Maria serius menyatakannya.
“Itu dahulu tetapi sekarang Cik Maria sudah
tidak bertemu dengannya lagi, kan. Kenal bukan tiket untuk seseorang jatuh
cinta, kan. Ye la. Macam kenalan kita yang lain. Bukan semuanya cinta dan
sayangkan kita dalam erti kata yang teristimewa, kan.” Umairah tersenyum manis.
“Betul juga tu. Mungkin sekarang Laila sudah
melupai saya. Insya-Allah saya akan cuba lakukannya.” Maria teruja.
“Saya doakan Cik Maria akan berjaya dan cinta
yang Cik Maria dambarkan akan muncul juga nanti. Kalau Cik Maria nak apa-apa
bantuan nanti, jangan segan-segan
hubungi saya.” Umairah cuba memberi keyakinan kepada Maria.
“Terima kasih sekali lagi, Umairah. Dalam
beberapa minit ni banyak yang awak telah bantu saya. Tak terbalas saya dengan jasa
awak, ni.”
“Tak perlu nak balas jasa saya. Saya
lakukannya kerana Allah. Semoga saya mendapat pahala membantu Cik Maria, ni.”
Umairah tersenyum.
“Insya-Allah, kebaikan awak ni akan mendapat
perhatian daripada-Nya.” Maria turut tersenyum.
“Sembang punya sembang tak sedar dah nak
sampai. So, lorong mana rumah awak
ni?” Maria inginkan kepastian.
“Cik Maria boleh ambik lorong kanan kat depan
sana. Rumah saya yang ketiga.”Umairah memberitahu. Setelah tiba pada rumah yang
diperkatakan, Umairah pantas berterima kasih sebelum turun.
“Terima kasih, Cik Maria.”
“Tak perlu bercik-cik juga dengan saya.
Panggil Kak Maria jer.”
“Okey, Kak Maria.”
“Okey. Jumpa lagi nanti. Terima kasih sekali
lagi ye, Umairah.”
“Sama-sama kasih.” Umairah tersenyum. Maria
membalas senyuman itu sebelum meneruskan pemanduannya. Umairah benar-benar
berharap Maria berjaya memiliki cinta Cef Fiq. Dia juga berharap perubahan yang
baru kepada Maria dan Cef Fiq nanti. Perubahan kepada yang lebih baik.
‘Kalau Mark Adam rasa mukanya macam katak, aku
ni pula macam ketam. Menasihati orang pasal cinta tapi sendiri ada masalah
cinta yang dari dahulu belum betul-betul selesai. Buat lawak jer!’ Umairah
monolog sendirian bila mana terkenangkan masalahnya dengan Syawal yang kembali
muncul. Dia sudah membulatkan tekat untuk segera menyelesaikannya agar Syawal
tidak menaruh harapan padanya lagi. Masalahnya pada siapa dia dapat menaruh
bantuan yang agak berat itu. Siapa yang sudi membantunya tanpa mengharapkan
apa-apa balasan.
‘Harap-harap Mila dapat memikirkan jalan
penyelesaiannya nanti.’ Umairah berkata dengan hatinya sendiri. Dia yakin
Jamilah pasti mempunyai beberapa jalan penyelesaiannya nanti, Insya-Allah. Dia
yang memandang rumah Jamilah mula menghantar pesanan ringkas kepada sahabat
baiknya itu.
Salam,
Mila. Ko kat umah, kan?
Sekejap lagi
aku dtg umah ko.
Nk bincang
sesuatu. Boleh?
Seketika kemudian pesanan tersebut berbalas.
Wasalam. Okey, set. Jgn lupa bw
mknn.
Lapo ni.
Hihihi.
Umairah menggelengkan kepalanya membaca
pesanan ringkas tersebut. Faham benar dengan tabiat Jamilah yang kurang gemar
memasak apabila tinggal bersendirian itu. Umairah pantas memasuki rumahnya
untuk membersihkan diri dan menyediakan sedikit juadah untuk sahabatnya itu.